KBS sahkan atlet para badminton Liek Hou tidak digantung

21 Sep 2025, 4:11 AM
KBS sahkan atlet para badminton Liek Hou tidak digantung

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan tiada sebarang penggantungan dikenakan terhadap jaguh para badminton negara, Cheah Liek Hou berhubung dengan polemik tuntutan ganjaran atlet para baru-baru ini.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) juga akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada Liek Hou berhubung dengan kekeliruan mengenai istilah scam.

“Tentang polemik berkaitan dengan tuntutan ganjaran atlet para, Liek Hou, inilah hasil yang saya dan MPM bersetuju bahawa tiada sebarang penggantungan terhadap Liek Hou.

"Untuk masa hadapan, semua ganjaran akan disertakan dengan template bertulis supaya lebih jelas dan telus (seperti template Road To Gold),” katanya menerusi laman Facebook hari ini.

Beliau berkata kini semua pihak perlu bergerak ke hadapan agar atlet dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada latihan dan pertandingan.

Hannah turut merakamkan penghargaan kepada pihak swasta lain yang tampil untuk menambah ganjaran MPM kepada lima pemenang pingat Paralimpik Paris 2024.

Sebelum ini, media melaporkan atlet berkenaan mendakwa MPM sebagai "penipu" menerusi media sosial kerana masih belum melunaskan insentif wang tunai RM60,000 yang dijanjikan kepadanya selepas memenangi pingat emas dalam Sukan Paralimpik 2024.

Keluhan jaguh badminton para negara itu turut mendapat perhatian Hannah yang tidak bersetuju dengan cara layanan MPM, yang mengenakan tindakan tunjuk sebab terhadap atlet itu.

Hannah menerusi hantaran dalam akaun Facebooknya berkata Liek Hou tidak melanggar mana-mana garis disiplin dan tindakan yang dilakukan atlet itu hanya menuntut perkara yang dijanjikan kepadanya setahun selepas memenangi pingat emas di Paris, Perancis.

-- BERNAMA

TAG: sukan, Hannah Yeoh, Liek Hou, gantung, MPM

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619