JPJ buka bidaan nombor pendaftaran istimewa ‘GM’ sempena Hari Malaysia

15 Sep 2025, 9:31 AM
JPJ buka bidaan nombor pendaftaran istimewa ‘GM’ sempena Hari Malaysia

PUTRAJAYA, 15 SEPT: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka bidaan bagi nombor pendaftaran istimewa (NPI) dengan tanda indeks ‘GM’ sempena sambutan Hari Malaysia 2025.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata bidaan bagi siri NPI itu akan dibuka mulai esok hingga 10 malam Sabtu, melalui Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) dan keputusan akan dikeluarkan pada Ahad.

“Tanda Indeks NPI siri ‘GM’ ini dipilih dengan membawa maksud 'Gemilang Malaysia' bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme dan cintakan negara dalam bulan kemerdekaan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata harga bidaan adalah mengikut harga minimum ditetapkan iaitu bermula RM20,000 bagi nombor bernilai utama, nombor premium (RM5,000), nombor menarik (RM2,500), nombor popular (RM500) dan nombor biasa (RM300).

“Mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat keputusan bidaan rasmi dikeluarkan,” katanya.

Aedy Fadly turut berkata pembida yang berjaya juga akan ditawarkan dua keping tiket Festival Super GT Malaysia 2026, yang boleh ditebus melalui alamat e-mel gm@supergtmalaysia.com.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619