Jaringan awal Figueiredo bantu Malaysia atasi Palestin 1-0

8 Sep 2025, 4:05 PM
Jaringan awal Figueiredo bantu Malaysia atasi Palestin 1-0
Jaringan awal Figueiredo bantu Malaysia atasi Palestin 1-0
Jaringan awal Figueiredo bantu Malaysia atasi Palestin 1-0

ISKANDAR PUTERI, 8 SEPT: Malaysia berjaya menundukkan pasukan dalam kelompok 100 terbaik dunia apabila mencatat kemenangan 1-0 ke atas Palestin pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam ini.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan penyerang Joao Figueiredo yang meledak buat kali ketiga berturut-turut bersama Harimau Malaya selepas menyempurnakan hantaran lintang leret Quentin Cheng dari sebelah kanan seawal minit ketiga.

Peluang keemasan sekali lagi hadir buat Figueiredo, namun percubaan jarak dekatnya tepat ke dakapan penjaga gol Palestin, Rami Hamada pada minit ke-24 sebelum rembatan Arif Aiman Mohd Hanapi tiga minit kemudian juga mudah dinafikan penjaga gol itu.

Palestin, pasukan ranking ke-98 dunia, berpeluang menyamakan kedudukan pada masa tambahan separuh masa kedua, tetapi sepakan percuma Wessam Abou Ali sekadar menggegarkan tiang gol sekali gus memastikan gawang Ahmad Syihan Hazmi Mohamed kekal tidak dibolosi sehingga wisel penamat.

Kemenangan malam ini menyaksikan pasukan negara yang menghuni ranking ke-125 dunia, terus mengekalkan rekod tanpa kalah di bawah kendalian ketua jurulatih, Peter Cklamovski selepas beliau membimbing Malaysia melakar tiga kemenangan dan satu seri sebelum ini.

Perlawanan malam ini turut menyaksikan pemain warisan, Richard Chin membuat penampilan sulung bersama pasukan negara apabila dimasukkan pada minit ke-80 menggantikan Quentin Cheng.

Kali terakhir Malaysia menewaskan Palestin adalah pada 2001 menerusi kemenangan 4-3 dalam aksi Kumpulan Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2002 di Doha, Qatar.

Selepas ini, anak buah Cklamovski dijadual menyambung kempen Kumpulan F Pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos di Vientiane pada 9 Okt sebelum melayani kunjungan lawan sama pada 14 Okt.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619