PM hulur sumbangan ringankan beban veteran ATM sakit saraf

8 Sep 2025, 10:55 AM
PM hulur sumbangan ringankan beban veteran ATM sakit saraf
PM hulur sumbangan ringankan beban veteran ATM sakit saraf

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan kepada seorang veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Yusuf Awang yang menghidap masalah saraf kaki.

Sumbangan itu disampaikan Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi yang menziarahi Yusuf di kediamannya di Kampung Alor Ladang, Beserah di Kuantan, Pahang.

Ahmad Farhan berkata sumbangan tunai serta bakul makanan diberikan kepada Yusuf sebagai penghargaan atas segala pengorbanan beliau.

“Pak cik Yusuf diuji dengan masalah saraf kaki yang membataskan langkahnya saban hari. Namun, di sebalik kelemahan itu terserlah kekuatan jiwa seorang perwira yang pernah berdiri gagah mempertahankan tanah air.

“Semoga Allah SWT terus mengurniakan kesihatan, ketabahan, dan keberkatan dalam hidupnya. Pengorbanan insan seperti pak cik Yusuf inilah yang menjadi asas kepada nikmat keamanan yang kita kecapi pada hari ini,” katanya menerusi hantaran Facebook yang turut dikongsikan Perdana Menteri hari ini.

Sementara itu, Ahmad Farhan turut menyampaikan sumbangan mewakili Perdana Menteri kepada seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarjan N. Yasotharan yang diuji dengan penyakit diabetes kronik di kediamannya di Indera Mahkota, Kuantan.

Ahmad Farhan berkata sumbangan tunai serta bakul makanan diberikan kepada Yasotharan sebagai tanda bahawa pengorbanan seorang anggota polis tidak pernah dipandang sepi.

“Yasotharan terlantar akibat diabetes kronik yang menyebabkan kaki terpaksa dipotong, selain perlu menjalani rawatan dialisis berkala dan kini berdepan pula dengan masalah penglihatan.

“Hati saya tersentuh saat melihat keadaan seorang anggota polis yang pernah gagah berdiri menjaga keselamatan rakyat, kini terbaring mengharungi ujian yang begitu berat… sesungguhnya, jasa insan seperti beliaulah yang menjadi tiang kepada keamanan negara kita,” katanya menerusi hantaran Facebook yang turut dikongsikan Perdana Menteri hari ini.

Ahmad Farhan turut mendoakan agar Yasotharan diberikan kesembuhan dan kekuatan untuk mengharungi dugaan yang dihadapi.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619