Lima Taman Rekreasi Madani di Selangor dijangka siap akhir tahun ini

6 Sep 2025, 11:00 AM
Lima Taman Rekreasi Madani di Selangor dijangka siap akhir tahun ini

KUALA LUMPUR, 6 SEPT: Kerajaan Selangor menyasarkan sekurang-kurangnya lima Taman Rekreasi Madani (TRM) di negeri itu dapat disiapkan menjelang akhir tahun ini sebagai usaha menyediakan ruang rekreasi komuniti yang lebih moden dan inklusif.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim berkata, proses pembangunan sedang dijalankan secara berperingkat oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di beberapa lokasi dikenal pasti antaranya Sepang dan Kuala Langat.

“Setakat ini projek itu sedang berjalan, saya yakin sehingga hujung tahun ini akan siap dalam tiga hingga lima.

“Saya pasti PBT tahu pelaksanaan taman ini iaitu mempunyai ciri-ciri ‘Kita Selangor’ dan ada akses akses Wi-Fi, bukan sekadar taman permainan sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), di sini hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menerusi Jabatan Landskap Negara menyasarkan pembinaan 112 TRM di seluruh negara pada tahun ini.

Timbalan Menterinya Datuk Aiman Athirah Sabu berkata ia termasuk pembinaan lapan TRM yang akan dibangunkan di Selangor melibatkan peruntukan RM4 juta.

Beliau berkata pembangunan TRM akan menitikberatkan persekitaran hijau serta kemudahan landskap yang mesra rekreasi demi kesejahteraan penduduk dan manfaat komuniti setempat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619