Anwar: Cadangan sambung ECRL ke Rantau Panjang masih dibincang

3 Sep 2025, 5:34 AM
Anwar: Cadangan sambung ECRL ke Rantau Panjang masih dibincang

BEIJING, 3 SEPT: Cadangan untuk menyambung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Rantau Panjang, Kelantan, yang bersempadan dengan Thailand masih pada peringkat awal perbincangan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pasukan yang terlibat perlu meneliti butirannya, kos dan kaedah pembayaran. Berdasarkan ini merupakan kesinambungan, kosnya mungkin lebih rendah,” kata beliau kepada media Malaysia pada sidang media sebelum mengakhiri lawatan selama empat hari ke China.

Anwar berkata perkara itu turut dibincangkan dengan Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri China Li Qiang dalam pertemuan dua hala secara berasingan di sini semalam.

"Cadangan adalah ke arah itu, antara 20 dan 25 kilometer ke Rantau Panjang berhampiran sempadan Thailand,” kata beliau.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berharap cadangan tersebut dapat direalisasikan dalam usaha kerajaan untuk membangunkan kawasan itu.

“Kawasan dari Kota Bharu ke Rantau Panjang, terutamanya Rantau Panjang, agak kurang membangun.

“Kami berharap dengan adanya stesen ini, ekosistem pembangunan dan perniagaan dapat ditingkatkan,” kata beliau.

Bulan lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memberitahu Dewan Rakyat bahawa perbincangan lanjut dengan China dan kontraktor utama, China Communications Construction Co Ltd (CCCC) adalah perlu berikutan projek tersebut kini dalam pembinaan dan jajaran landasan ke Rantau Panjang adalah sebahagian daripada pakej projek.

Dalam perkembangan lain, Anwar mengesahkan bahawa Li akan mewakili China pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada akhir bulan depan.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619