AS boleh jadi negara dunia ketiga jika tarif ditangguh

3 Sep 2025, 2:48 AM
AS boleh jadi negara dunia ketiga jika tarif ditangguh

ISTANBUL, 3 SEPT: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Selasa berkata beliau akan memohon Mahkamah Agung supaya membuat keputusan segera bagi membatalkan keputusan mahkamah rayuan yang mendapati sebahagian besar tarif kontroversinya adalah tidak sah, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Jika tarif dimansuhkan, kita boleh menjadi negara dunia ketiga.

“Kami akan ke Mahkamah Agung, kami fikir esok, kerana kami perlukan keputusan awal,” kata Trump kepada wartawan di Rumah Putih, sambil menegaskan “struktur kewangan negara” sedang dipertaruhkan.

“Kami akan memohon supaya diterima lebih awal … Kami akan meminta satu keputusan dipercepatkan,” kata beliau.

Trump berkata Amerika Syarikat telah menandatangani perjanjian perdagangan dengan Jepun, Kesatuan Eropah (EU) dan Korea Selatan, sambil mendakwa negara-negara terbabit membayar US$950 bilion kepada Washington dan “berpuas hati” dengan perkara itu.

Namun, pengkritik menyifatkan perjanjian itu lebih berupa kerangka berbanding perjanjian penuh, selain menegaskan Trump telah salah menggambarkan sejauh mana AS akan mendapat manfaat daripadanya.

Berhubung usaha membatalkan tarif yang dilaksanakan melalui perintah eksekutif, Trump berkata: “Mereka (pengkritik) langsung tidak ada asas undang-undang untuk mencabarnya, malah dari sudut logik sekali pun, ia akan menghancurkan Amerika.”

Trump turut menyatakan bahawa keputusan mahkamah rayuan pada Jumaat lalu menjadi punca kejatuhan pasaran saham AS pada Selasa.

“Pasaran saham jatuh kerana keputusan itu, kerana pasaran memerlukan tarif. Mereka mahu tarif,” katanya.

Bagaimanapun, ramai penganalisis menyifatkan ketidakpastian mengenai tarif sebagai punca utama kejatuhan pasaran.

Pada Jumaat, Mahkamah Rayuan mendapati Trump tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan sebahagian besar tarif itu.

“Kuasa teras Kongres untuk mengenakan cukai seperti tarif diperuntukkan secara eksklusif kepada badan perundangan oleh Perlembagaan.

“Tarif adalah kuasa teras Kongres,” menurut keputusan mahkamah itu.

Bagi memberi masa kepada pentadbiran Trump memfailkan rayuan ke Mahkamah Agung untuk membatalkan keputusan itu, mahkamah rayuan menangguhkan pelaksanaannya sehingga 14 Okt.

-- BERNAMA-ANADOLU

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619