Jangan terpedaya video AI tawar wang guna gambar MB Perak

3 Sep 2025, 1:24 AM
Jangan terpedaya video AI tawar wang guna gambar MB Perak

IPOH, 3 SEPT: Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad menasihati orang ramai supaya tidak terperdaya dengan kewujudan akaun TikTok palsu yang menggunakan gambar dan suara beliau melalui teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menawarkan wang tunai dan meminta mangsa menghubungi nombor telefon tertentu untuk membuat tuntutan.

Beliau berkata sejak petang semalam, pihaknya menerima banyak aduan mengenai beberapa video di platform berkenaan yang seolah-olah memaparkan tawaran wang ringgit daripada beliau, sedangkan perkara itu tidak benar.

“Akaun TikTok terbabit bukan milik saya dan segala tawaran yang dibuat juga tidak benar, saya memohon supaya orang ramai tidak membuat sebarang transaksi dengan pihak yang tidak dikenal pasti.

"Segala bentuk bantuan kerajaan hanya akan diumumkan melalui akaun media sosial rasmi Menteri Besar dan saluran rasmi kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Saarani berkata perkara itu telah diserahkan kepada pihak berkuasa, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan lanjut.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa atau membuat aduan kepada platform media sosial terbabit sekiranya ternampak akaun palsu berkenaan bagi mengekang penipuan digital daripada terus berleluasa.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619