Keluarga pelajar tahfiz serah memorandum, tuntut ketelusan kes kematian 2013

1 Sep 2025, 8:10 AM
Keluarga pelajar tahfiz serah memorandum, tuntut ketelusan kes kematian 2013

KOTA BHARU, 1 SEPT: Keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman, pelajar tingkatan empat yang ditemukan maut dalam keadaan tergantung di sebuah tandas sekolahnya pada Disember 2013, hari ini menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim, di sini.

Memorandum berkenaan diserahkan oleh wakil keluarga Ali Hanafiah Mohamed kepada Mohd Anas Ridzuan Shamsuddin, yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri Datuk Wan Roslan Wan Hamat.

Ali Hanafiah berkata memorandum itu, merangkumi tiga tuntutan utama termasuk penjelasan mengenai perobohan lokasi kejadian (tandas sekolah) sedangkan siasatan masih belum dimuktamadkan.

“Kami juga menuntut ketelusan dalam kawalan keselamatan sekolah, termasuk tindakan susulan terhadap insiden pergaduhan sebelum tragedi berlaku.

“Selain itu, kami mahu kerajaan negeri dan Yayasan Islam Kelantan menunjukkan komitmen, dengan memastikan maklumat berkaitan tersedia untuk orang awam serta membuka ruang sekiranya kes ini perlu dibawa ke mahkamah,” katanya ditemui di Kompleks Kota Darulnaim, di sini.

Turut hadir kedua-dua ibu bapa Allahyarham, Wan Abdul Rahman Wan Yaacob dan Ruhani Hussin bersama penyokong keluarga.

Pada 20 Ogos, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan Polis Diraja Malaysia akan membuka semula kertas siasatan kes kematian pelajar tahfiz berkenaan.

Pada Disember 2013, Wan Ahmad Faris ditemukan mati tergantung dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, di Kok Lanas. Mayatnya dilaporkan ditemukan penyelia asrama selepas menghidu bau busuk dari dalam tandas itu.

Pakar forensik yang melakukan bedah siasat terhadap mayat Wan Ahmad Faris mengesahkan kes sebagai kematian mengejut dan tiada kaitan dengan unsur jenayah. Bagaimanapun, Mahkamah Koroner pada Jun 2016 memutuskan kematian pelajar itu disebabkan dibunuh oleh individu yang identitinya belum dikenal pasti.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619