Malaysia kutuk sekeras-kerasnya serangan udara Israel terhadap Hospital Nasser di Gaza

27 Ogos 2025, 2:59 PM
Malaysia kutuk sekeras-kerasnya serangan udara Israel terhadap Hospital Nasser di Gaza

PUTRAJAYA, 27 OGOS: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas Hospital Nasser di Khan Younis, Gaza pada 25 Ogos lalu yang meragut sekurang-kurangnya 20 nyawa, termasuk petugas perubatan dan wartawan, serta mencederakan ramai yang lain.

Kementerian Luar dalam kenyataan berkata Malaysia menegaskan semula bantahan keras terhadap tindakan menyasarkan hospital, wartawan serta petugas kemanusiaan, sambil menekankan bahawa perbuatan itu merupakan pelanggaran terang-terangan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Geneva Keempat dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang secara jelas melarang serangan ke atas fasiliti perubatan serta media.

Kenyataan itu menambah bahawa tindakan sedemikian adalah jenayah perang dan tidak boleh dibiarkan tanpa hukuman. Serangan yang disengajakan ke atas wartawan bukan sahaja jenayah keji terhadap nyawa yang tidak berdosa, malah merupakan serangan langsung terhadap kebebasan media.

“Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), bertindak segera dan tegas untuk menghentikan kekejaman berterusan Israel serta memastikan rejim itu dipertanggungjawabkan sepenuhnya.

“Malaysia juga menggesa semua pihak melipatgandakan usaha ke arah keamanan menyeluruh, adil dan berkekalan berasaskan hak asasi rakyat Palestin, termasuk penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berasaskan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” menurut kenyataan itu pada Rabu.

Menurut laporan media antarabangsa, mereka yang terkorban termasuk empat petugas kesihatan serta lima wartawan - yang kemudiannya dikenal pasti sebagai Ahed Abu Aziz, Hussam al-Masri, Mariam Dagga, Mohammed Salama dan Moaz Abu Taha.

Mereka berkhidmat dengan agensi termasuk Middle East Eye, Associated Press, Al Jazeera dan Reuters.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619