Tiada kes Measles-Rubella di Selangor setakat ini

27 Ogos 2025, 7:42 AM
Tiada kes Measles-Rubella di Selangor setakat ini

AMPANG JAYA, 27 OGOS: Situasi penyakit Measles-Rubella di Selangor masih terkawal dengan tiada kes berjangkit direkodkan setakat ini, kata EXCO kesihatan awam.

Jamaliah Jamaluddin menjelaskan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) belum mengeluarkan sebarang laporan atau amaran signifikan berkaitan penyakit itu.

“Belum ada lagi data menunjukkan berlakunya kes Measles-Rubella di Selangor. Selalunya JKNS akan memaklumkan melalui laporan berkaitan isu (kes) tertentu yang memerlukan tindakan kerjasama dengan Kerajaan Negeri.

“Buat sementara waktu, tiada amaran dan laporan kes yang signifikan dari JKNS berhubung penyakit ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Sinergi Bandar Pintar Ampang Jaya 2025 di Pusat Konvensyen MPAJ, hari ini.

Jamaliah turut memaklumkan Kerajaan Negeri sedia bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk melaksanakan pemberian vaksin tambahan Measles-Rubella kepada kanak-kanak melalui program kesihatan negeri jika diperlukan.

“Kita tengok keadaan penyakit, jika sesuai memang kita bekerjsama dengan JKNS dan Pejabat Kesihatan Daerah untuk membenarkan pemberian vaksin di program Selangor Saring.

“Buat masa ini, Kerajaan Negeri teruskan inisiatif pemberian vaksin buat warga emas secara percuma mengikut syarat di Selangor Saring,” jelasnya.

Sebelum ini, KKM memaklumkan akan melaksanakan Aktiviti Imunisasi Tambahan Measles-Rubella bagi kanak-kanak berumur enam hingga 59 bulan di seluruh negara mulai 4 Ogos hingga 12 Oktober depan.

Bahagian Kawalan Penyakit KKM berkata inisiatif itu menyasarkan kanak-kanak lahir antara 1 Ogos 2020 hingga 31 Januari 2025 bagi meningkatkan liputan imunisasi dan memberi perlindungan awal mencegah penularan lebih meluas.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619