SHAH ALAM, 26 OGOS: Pelajar lelaki tingkatan tiga yang dilapor terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam masih ditidurkan bagi mengurangkan tekanan fizikal dan emosi.
Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad berkata keadaan pelajar itu dipantau rapi oleh pasukan perubatan Hospital Sungai Buloh, dengan taklimat khas turut diberikan kepada semua pihak termasuk waris.
“Dalam taklimat tersebut, pasukan perubatan maklumkan prosedur dan tatacara perubatan yang dilakukan. Fokus utama adalah untuk pantau kecederaan di kepala dan otak mangsa,” katanya pada sidang media khas, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Azam berkata penempatan sementara anggota pentadbir sekolah berkenaan di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dibuat bagi memberi laluan kepada proses siasatan dalaman.
Beliau menjelaskan, tindakan tersebut juga bagi mengelakkan berlakunya tekanan emosi terhadap pengetua, penolong kanan hal ehwal murid (HEM) serta semua warden sekolah terbabit.
“Kita ada garis panduan sekolah selamat termasuk sekolah asrama, pengendalian kes buli dan seksual. Jadi kita akan lihat adakah sekolah ini mematuhi garis panduan tersebut, kita akan teliti satu per satu,” katanya.
Mohd Azam menegaskan, Kementerian Pendidikan (KPM) memberi kepercayaan penuh kepada polis untuk menyiasat secara terperinci termasuk jika melibatkan kes buli atau pergaduhan.
“Apa-apa pun kes ini telah menjadi kes polis. Kementerian beri kepercayaan penuh dan sedia memberikan kerjasama kepada polis untuk laksanakan siasatan terperinci,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menerusi kenyataan di Facebook mengarahkan penempatan sementara pengetua, penolong kanan HEM serta semua warden sekolah berkenaan di JPNS sehingga proses siasatan selesai.
Menurutnya KPM telah memulakan proses siasatan dalaman berhubung kemalangan melibatkan seorang pelajar lelaki tingkatan tiga di sebuah sekolah asrama di Sabak Bernam bagi meneliti semua aspek pematuhan tatacara operasi piawai (SOP).