SHAH ALAM, 26 OGOS: Air Selangor melaksanakan pelan Yakini Air Kita 2028, satu inisiatif jangka panjang untuk memastikan bekalan air bersih dan selamat diminum terus dari paip.
Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Adam Saffian Ghazali berkata di bawah pelan yang bermula sejak 2020, proses mengintegrasikan penyelesaian berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) giat dijalankan untuk memastikan kualiti air lebih selamat dan terjamin untuk pengguna.
Jelas beliau, teknologi AI akan memantau, menganalisis dan meramal kualiti sumber air mentah dari sungai sebelum proses rawatan bermula di 34 loji rawatan air.
"Teknologi ini dapat mengesan perubahan dalam parameter kualiti air termasuk kehadiran bahan cemar. Ia juga dapat mengesan perubahan kualiti air semasa yang memerlukan penyelesaian lebih efektif," katanya.
Tahap pematuhan kualiti air capai 99.94 peratus
Adam Saffian berkata pihaknya memantau kualiti air di 34 rangkaian sistem bekalan.
Jelasnya, kualiti air diukur menerusi Indeks Kualiti Air Minum (DWQI) oleh Kementerian Kesihatan (KKM) yang merekodkan skor jika melebihi 80 bermaksud dalam kategori baik dan cemerlang.
“Pematuhan tahap kualiti air yang boleh diminum terus ini disasarkan kepada keseluruhan rangkaian bekalan air secara berperingkat menjelang 2028
"Selain itu, berdasarkan pencapaian Program Jaminan Mutu (QAP) yang dikelola oleh KKM, Selangor berada pada kedudukan tiga teratas bersama-sama Kuala Lumpur dan Putrajaya.
"Malah, Air Selangor mencatat pematuhan baik sepenuhnya terhadap lima parameter penting seperti E. coli, gabungan E. Coli dan baki klorin bebas, kekeruhan dan kandungan aluminium setakat Jun ini," katanya.

Beliau berkata setakat Mei 2025, tahap pematuhan kualiti air minum yang dibekalkan oleh Air Selangor mencapai 99.94 peratus.
"Pencapaian ini adalah berdasarkan lebih 111,000 analisa ke atas sampel-sampel air terawat oleh KKM dan juga Air Selangor dari sistem agihan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
"Ini menunjukkan tahap kualiti air yang dibekalkan kepada pengguna mencapai pematuhan tertinggi terhadap spesifikasi Piawaian Kualiti Air Minum Kebangsaan oleh KKM.
Persediaan perubahan iklim dan urbanisasi
Mengulas lanjut, Adam Saffian berkata inisiatif holistik jangka panjang dirangka sebagai persediaan mendepani perubahan iklim yang boleh menjejaskan sumber air.
"Fenomena perubahan iklim yang membawa risiko besar terhadap sumber air daripada ketidaktentuan cuaca hingga kekeringan luar jangka juga antara perkara yang diberi perhatian dalam penyediaan rancangan bekalan air bersih.
"Oleh itu, kita bekerjasama dengan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) menerusi polisi pelepasan sifar (ZDP) bagi melindungi sumber air" katanya.
Selain itu, kepesatan urbanisasi telah meningkatkan permintaan terhadap bekalan air bersih.
Bagi memenuhi keperluan itu, beliau berkata Air Selangor melaksanakan strategi bekalan pelbagai sumber yang komprehensif bagi meningkatkan daya tahan sistem dan kesiapsiagaan jangka panjang termasuk pembinaan loji rawatan air baharu seperti Sungai Rasau Peringkat 1, Sungai Rasau Peringkat 2, Labohan Dagang Fasa 2, Langat 2 Fasa 2
“Usaha ini turut diperkukuh dengan pembangunan storan luar sungai serta loji rawatan semula dan penyahgaraman, khususnya di kawasan industri strategik. Setakat 31 Disember 2024, margin simpanan air meningkat kepada 18.6 peratus berbanding 15.34 peratus tahun sebelumnya, dengan sasaran 20 peratus menjelang 2030,” katanya.
Peranan pengguna
Beliau berkata pengguna juga memainkan peranan penting dalam memastikan air yang digunakan di rumah kekal bersih.
“Untuk rumah atas tanah, pengguna perlu kerap memeriksa dan menyelenggara sistem paip dalaman serta membersihkan tangki air secara berkala. Tangki yang tidak disenggara boleh menyebabkan pencemaran dan menjejaskan kualiti air.
“Untuk kediaman bertingkat, pengguna perlu melaporkan sebarang tanda kebocoran, pencemaran atau isu paip kepada pihak pengurusan bangunan dengan segera. Tindakan segera boleh mengelakkan kerosakan yang lebih besar dan memastikan bekalan air kekal selamat,” katanya.