Pencemaran Sungai Kabul tidak jejaskan bekalan air pengguna

22 Feb 2026, 2:37 AM
Pencemaran Sungai Kabul tidak jejaskan bekalan air pengguna

SHAH ALAM, 22 FEB: Tiada gangguan bekalan air dilaporkan susulan insiden pencemaran bau di Sungai Kabul, Semenyih yang berlaku sejak Khamis lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali, berkata situasi itu terkawal hasil tindakan pantas pelbagai pihak, termasuk pengaktifan Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) serta pelarasan sistem agihan bagi memastikan kestabilan bekalan air.

“Pihak kami turut menggerakkan pasukan untuk membantu kerja pembersihan, menyediakan lori sedutan, serta menempatkan helaian sedut dan joran minyak bagi mengawal pencemaran,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Adam menegaskan, langkah ini adalah sokongan kepada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Kerajaan Negeri, selain mempertingkatkan pemantauan kualiti air mentah supaya operasi loji rawatan air kekal stabil dan terkawal.

“Air Selangor komited memastikan keterjaminan bekalan air dan operasi loji rawatan berjalan lancar, sekali gus membekalkan air terawat yang bersih dan selamat kepada 9.62 juta pengguna,” katanya.

Pasukan Air Selangor giat menjalankan kerja-kerja pembersihan dengan menempatkan helaian sedut minyak (oil pads) dan joran minyak (oil booms) di Sungai Kabul, Semenyih sejak 20 Februari 2026. Foto Facebook Air Selangor

Menurut LUAS, kerja penyedutan dan pembersihan sisa pencemar di Sungai Kabul giat dijalankan tanpa henti dan dijangka selesai hari ini.

Kerja pemberishan turut melibatkan Indah Water Konsortium dan kontraktor dilantik menggunakan 10 lori tangki berkapasiti antara lima hingga 10 meter padu.

Pembersihan secara manual turut dilaksanakan bagi memastikan lokasi terlibat bebas daripada sisa atau baki pencemar yang boleh menimbulkan risiko.

Pasukan Air Selangor bersama Indah Water Konsortium giat menjalankan kerja-kerja pembersihan dengan menempatkan lori sedutan selain helaian sedut minyak (oil pads) dan joran minyak (oil booms) di Sungai Kabul, Semenyih sejak 20 Februari 2026. Foto Lembaga Urus Air Selangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619