Tipu bayaran guna NFC, dua pemandu e-panggilan didenda RM30,000

25 Ogos 2025, 12:18 PM
Tipu bayaran guna NFC, dua pemandu e-panggilan didenda RM30,000

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Dua pemandu e-hailing masing-masing didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan penipuan pembayaran menggunakan cara sentuhan Komunikasi Medan Dekat (NFC) melalui telefon bimbit mereka di beberapa pusat beli-belah di ibu negara, awal Jun lepas.

Hakim Suhaila Haron menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atau empat bulan penjara bagi setiap pertuduhan terhadap Chong Yin Hong, 42, dan Chong Li Shian, 39, selepas mereka menukar pengakuan kepada bersalah semasa sebutan kes hari ini dan kedua-dua tertuduh membayar denda itu.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan secara bersama, Yin Hong dan Li Shian didakwa dengan niat bersama telah melakukan capaian tanpa kuasa dan melakukan kesalahan penipuan pembayaran menggunakan transaksi wang yang palsu di beberapa pusat beli-belah antara 4 dan 11 Jun lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Jenayah Komputer 1997 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM150,000 atau penjara hingga 10 tahun atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pada 10 Jun lepas pengadu yang merupakan pengurus di Bahagian Siasatan Fraud Maybank telah menerima beberapa aduan daripada pelanggan mengenai transaksi mencurigakan oleh beberapa individu yang membuat bayaran menggunakan NFC dengan telefon bimbit yang telah disambungkan kepada kad kredit luar negara.

Berdasarkan maklumat yang diterima, pihak bank telah menjalankan siasatan dan mendapati kedua-dua tertuduh membuat bayaran dengan menyentuh telefon bimbit ke terminal EDC Maybank menggunakan kod kelulusan ‘VIP111’, hingga menyebabkan terminal pembayaran tergendala.

Hasil siasatan mendapati telefon milik Yin Hong mempunyai beberapa aplikasi yang digunakan kedua-dua tertuduh untuk melakukan pembayaran secara palsu tersebut.

Selain itu, rakaman kamera litar tertutup juga menunjukkan pembelian oleh kedua-dua tertuduh berlaku di beberapa lokasi pusat beli belah berkenaan serta barangan yang dirampas sama seperti barangan yang tertera dalam resit pembelian.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nursyuhada Husna Sulaiman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Naqib Aiman Mohd Faizal yang mewakili kedua-dua wanita itu memohon hukuman berbentuk denda ringan atas alasan anak guamnya merupakan pesalah kali pertama dan perlu menanggung ibu bapa yang telah berusia.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619