AGENDA

Tapak NFC terbengkalai di Gemas jadi ladang jagung

20 Mei 2022, 7:55 AM
Tapak NFC terbengkalai di Gemas jadi ladang jagung

SHAH ALAM, 20 MEI: Tapak projek ternakan lembu National Feedlot Corporation (NFC) yang terbengkalai di Gemas, Negeri Sembilan akan dimajukan dengan tanaman jagung bijirin.

Menteri Besarnya Datuk Seri Aminuddin Harun berkata projek itu membabitkan kawasan seluas 160 hektar daripada keseluruhan lebih 600 hektar tanah di situ, lapor Berita Harian.

Beliau menjelaskan pembangunan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dimulakan tahun ini dan dianggap terbesar di negeri berkenaan.

"Buat projek lembu pun tak jadi, adalah lebih baik kita cuba majukan dengan projek lain seperti tanaman jagung bijirin. Tanah berkenaan milik Menteri Besar Diperbadankan (MBI) dan dilaksanakan dengan usahasama PKPS dan yang pertama dilakukan dengan agensi itu," katanya.

Aminuddin menambah projek pengeluaran makanan diperhebat untuk keperluan rakyat bagi mengelak krisis bekalan makanan pada masa hadapan.

"Kita perlu bersiap sedia dari sekarang kerana khuatir krisis bekalan makanan boleh tercetus andai tiada persediaan awal dibuat yang akhirnya akan memberi kesan kepada kehidupan rakyat," katanya.

Kelmarin, Selangor dan Negeri Sembilan memeterai kerjasama bagi tanaman jagung bijirin untuk menyelesaikan isu kenaikan harga makanan ayam sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap jagung bijirin import.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619