ad

Sate Kajang diisytihar makanan warisan Selangor

23 Ogos 2025, 11:55 AM
Sate Kajang diisytihar makanan warisan Selangor
Sate Kajang diisytihar makanan warisan Selangor
Sate Kajang diisytihar makanan warisan Selangor
Sate Kajang diisytihar makanan warisan Selangor
Sate Kajang diisytihar makanan warisan Selangor

KAJANG, 23 OGOS: Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mengisytihar Sate Kajang sebagai makanan warisan negeri.

Pengisytiharan disempurnakan Baginda dalam majlis yang berlangsung di Stadium Kajang, lokasi sinonim dengan penjualan makanan berkenaan.

Dalam majlis sama, Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan mencemar duli ke kawasan reruai jualan untuk beramah mesra dengan peniaga serta rakyat.

Sementara itu EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata Sate Kajang telah diwarta sebagai objek bersejarah bawah Enakmen Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor 2009 pada 31 Julai lalu.

Katanya pewartaan itu mengukuhkan kedudukan makanan terbabit sebagai sebahagian daripada identiti Selangor yang bernilai dari segi sejarah, budaya dan sosial.

“Sate ini unik kerana perapan rempah turun temurunnya, cucukan daging yang padat berat sekitar 22 hingga 24 gram.

“Kuah kacang beraroma asli, hidangannya juga lengkap dengan ketupat dan sayuran, serta bakaran arang yang direnjis kasih pada setiap cucuk, menjadikan ia identiti kebanggaan negeri,” katanya.

Beliau berkata usaha pewartaan itu melalui proses teratur dan inklusif termasuk penganjuran bengkel meja bulat melibatkan pelbagai pihak termasuk ahli sejarah, budayawan, penggiat gastronomi, pengusaha sate dari Kajang serta pembuat dasar.

“Bengkel ini menjadi platform penting dalam merumuskan kedudukan Sate Kajang sebagai khazanah negeri yang wajar dipelihara dan diangkat martabatnya,” katanya.

Borhan berkata pengisytiharan ini menjadikan Selangor memiliki dua makanan warisan yang diwarta selepas Nasi Ambeng.

“Langkah ini selaras dengan usaha Kerajaan Negeri dalam memelihara,memartabatkan serta mempromosikan khazanah makanan warisan kepada generasi akan datang,” katanya.

Pada November 2022, Dato’ Menteri Besar mengisytihar dan mewartakan Nasi Ambeng iaitu menu tradisi masyarakat Jawa sebagai makanan warisan Selangor.

Isinya terdiri daripada nasi putih yang dihidangkan bersama dengan lauk seperti ayam, sambal goreng Jawa, serunding kelapa dan mi goreng.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.