Stadium Shah Alam baharu perlu mesra OKU dari parkir ke tempat duduk

23 Ogos 2025, 9:00 AM
Stadium Shah Alam baharu perlu mesra OKU dari parkir ke tempat duduk
Stadium Shah Alam baharu perlu mesra OKU dari parkir ke tempat duduk
Stadium Shah Alam baharu perlu mesra OKU dari parkir ke tempat duduk

SHAH ALAM, 23 OGOS: Elemen mesra Orang Kurang Upaya (OKU) dan reka bentuk sejagat sepenuhnya perlu dilaksanakan dalam pembinaan Stadium Shah Alam yang baharu.

Pengerusi Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya Selangor (MTOS) Danial Al-Rashid Haron berkata elemen itu perlu bagi memastikan kemudahan inklusif untuk semua golongan berkenaan.

Bagaimanapun, menurut beliau, perkara itu telah dibincangkan dengan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan sudah dimasukkan dalam pelan pembangunan stadium berkenaan.

“Di luar negara, adalah perkara biasa golongan OKU menonton bola sepak di stadium, tetapi di Malaysia ia masih jarang berlaku. Sebab itu kita mahu pastikan akses lengkap dan baik, bermula daripada parkir hingga ke tempat duduk.

“Sebagai contoh, pengguna kerusi roda tidak boleh ditempatkan di belakang penonton lain sehingga pandangan mereka terhalang. Ini standard yang kita mahu capai,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Karnival Kesedaran Autisme Heart Of The Rainbow di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), di sini, hari ini.

Pengerusi Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS) merangkap ADN Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Insan Istimewa Selangor (Yanis) Ar Kamarul Hisham Yeop Hashim (kiri) dan Dekan Pengajian Siswazah Perniagaan (UKM-GSB) Profesor Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul melakukan simbolik perasmian program Heart Of The Rainbow di Pustaka Raja Tun Uda pada 23 Ogos 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Danial yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga berkata walaupun lakaran akhir stadium masih belum dimuktamadkan, namun MBI memberi jaminan elemen mesra OKU telah diambil kira.

“Dalam jawatankuasa kami, ada seorang ahli khusus memantau aspek 'universal design'. Perbincangan dibuat dengan MBI dan mereka telah memasukkan cadangan-cadangan tersebut.

“Namun, masih ada aspek yang perlu ditambah baik. Ini usaha berterusan kami, bukan hanya untuk Stadium Shah Alam, tetapi juga projek pembangunan lain,” katanya.

Menurut Danial, Kerajaan Selangor akan memperkenalkan panduan akses sejagat di peringkat negeri sebagai rujukan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sebagai contoh, MBPJ sudah ada buku panduannya sendiri. Kita mahu satu panduan negeri yang boleh diadaptasi oleh semua PBT,” jelasnya.

Pengerusi Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS) merangkap ADN Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron melawat reruai anak istimewa ketika program Heart Of The Rainbow di Pustaka Raja Tun Uda pada 23 Ogos 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Mengulas mengenai program kesedaran berkenaan, beliau berkata inisiatif seumpama itu penting untuk mendidik masyarakat mengenai gangguan spektrum autisme (ASD).

“Alhamdulillah, pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama Yayasan Anak Istimewa Selangor (Yanis) berjaya menganjurkan karnival ini yang bukan sahaja meningkatkan kesedaran, tetapi menggalakkan penerimaan masyarakat terhadap individu autisme.

“Kerajaan Negeri sentiasa memerlukan lebih ramai rakan kolaborasi bagi melaksanakan program sebegini secara berterusan, termasuk menjelang sambutan Hari OKU hujung tahun ini,” katanya.

Karnival ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai ASD, menggalakkan penerimaan masyarakat dan menyediakan ruang sokongan komuniti.

Antara aktiviti menarik adalah acara mewarna, seni pasir, melukis, pameran komuniti serta seminar oleh pakar berpengalaman.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619