Empat remaja maut kereta terbabas di Banting, pemandu 16 tahun tiada lesen

23 Ogos 2025, 6:58 AM
Empat remaja maut kereta terbabas di Banting, pemandu 16 tahun tiada lesen

SHAH ALAM, 23 OGOS: Empat remaja maut selepas kereta yang dinaiki mereka dipercayai terbabas di Jalan Sultan Sulaiman Shah di Kampung Chodoi, Banting, dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi berkata siasatan mendapati kemalangan kira-kira pukul 5 pagi itu dipercayai berlaku apabila kereta Toyota Corolla dari arah Pantai Morib menghala ke Telok Panglima Garang dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan terbabas.

“Kereta yang membawa remaja berusia lingkungan 16 hingga 19 tahun itu kemudiannya masuk ke dalam parit di bahu jalan sebelum melanggar tembok parit terbabit.

“Susulan itu, tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, iaitu pemandu berusia 16 tahun dan dua penumpang. Tiga penumpang lain cedera parah dan mendapat rawatan di Unit Kecemasan Hospital Banting,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Akmalrizal berkata setibanya di hospital, seorang lagi mangsa yang sedang menerima rawatan turut disahkan meninggal dunia kira-kira 11 pagi.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati pemandu kereta itu tidak mempunyai lesen memandu dan punca kemalangan dipercayai berlaku akibat remaja itu mengantuk dan terlelap ketika memandu.

Katanya, kesemua waris mangsa yang terlibat telah hadir membuat laporan polis serta dirakam percakapan dan kes terbabit diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian kemalangan ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat S. Taneswaran menerusi talian 012-6708561 atau 03-31872222 atau ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619