ad

Dulu asnaf, kini tauke Songkok Malaya, tekad bantu komuniti desa

23 Ogos 2025, 1:00 AM
Dulu asnaf, kini tauke Songkok Malaya, tekad bantu komuniti desa

Di IKS Merbau Berdarah, Parit 16, Sungai Panjang, tersergam sebuah kilang sederhana yang menyimpan misi luar biasa.

Dari luar kelihatan seperti premis perniagaan biasa, namun di dalamnya terhimpun semangat anak jati Sabak Bernam, Mohd Hafzan Sardi (gambar) yang bertekad menghidupkan kembali warisan Melayu melalui songkok.

Bukan sekadar perusahaan, kilang ini menjadi pintu rezeki baharu untuk masyarakat desa. Dengan lapan pekerja termasuk dua belia setempat, jenama Songkok Malaya memasang cita-cita menggandakan tenaga kerja menjelang Aidilfitri tahun depan.

Laluan untuk merealisasikan impian itu tidak mudah. Usahawan berusia 37 tahun itu pernah berada di titik paling rendah dalam hidupnya. Beliau sendiri pernah tersenarai sebagai asnaf.

Namun, kepayahan itu bukan penghalang. Ia menjadi titik tolak untuk bangkit, lalu menjadikan pengalaman lebih 20 tahun dalam dunia pembuatan songkok sebagai azimat untuk membuka jalan rezeki kepada penduduk setempat.

“Kalau saya boleh bangkit, saya mahu orang lain pun ada peluang yang sama,” katanya mengimbau perjalanan hidup yang penuh jatuh bangun.

Pertahan warisan

Songkok bukan sekadar aksesori di kepala. Ia simbol maruah, identiti dan budaya Melayu. Malangnya, sebahagian besar industri pembuatan songkok di negara ini kini dikuasai warga asing. Malah bahan asasnya juga diimport daripada luar.

Bagi Mohd Hafzan yang juga Pengarah Urusan Malaya Revolution Sdn Bhd, ini bukan sekadar cabaran perniagaan tetapi perjuangan mempertahankan warisan bangsa.

Pelbagai jenis reka bentuk Songkok Malaya yang dipamerkan kepada pengunjung ketika Majlis Peluncuran Pembangunan Industri Desa Bengkel Pembuatan Songkok di Sungai Panjang, Sabak Bernam pada 14 Ogos 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Dengan kapasiti pengeluaran mencecah 4,000 unit sebulan daripada dua kilang, beliau menyasar penghasilan songkok hingga 600,000 unit setahun menjelang 2027.

Malah, beliau turut merancang untuk membuka sebuah lagi kilang di daerah sama bagi menampung permintaan sembilan juta songkok bernilai RM180 juta saban tahun di seluruh negara.

Cita-citanya jelas mahu menamatkan dominasi asing dan mengembalikan songkok ke tangan usahawan tempatan.

Labur RM200,000

Demi merealisasikan impian itu, Mohd Hafzan melabur RM200,000 untuk menaik taraf bangunan kilang sewaan dari Majlis Daerah Sabak Bernam.

Usahanya itu turut diperkukuh dengan geran Dana Usahawan Madani Selangor berjumlah RM25,000 bagi pembelian mesin.

Majlis peluncuran kilang Songkok Malaya disempurnakan EXCO Pengguna Datuk Rizam Ismail pada 14 Ogos.

Beliau menyifatkan projek tersebut sebagai contoh nyata bagaimana ekonomi desa mampu berkembang seiring dengan penguasaan kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Dengan adanya kilang ini, anak muda kita bukan sahaja belajar membuat songkok, tetapi menguasai kemahiran TVET yang menjanjikan gaji lumayan.

“Sudah tiba masanya kita beri keutamaan kepada pekerja tempatan kerana terlalu lama bidang kemahiran ini didominasi orang luar,” tegasnya.

Wajah baharu

Songkok Malaya membawa wajah baharu kepada warisan lama. Rekaan yang diiktiraf Majlis Reka Bentuk Malaysia ini menggabungkan elemen Kesultanan Johor dan Brunei, memberi sentuhan moden tanpa mengetepikan akar budaya.

Lebih menarik, songkok ini boleh dibasuh, tahan lama dan masih kekal elegan. Harganya pula mesra poket bermula RM25 untuk dewasa dan RM12.90 untuk kanak-kanak, manakala koleksi premium mencecah RM90 bergantung pada saiz.

EXCO Pengguna Datuk Rizam Ismail memakai Songkok Malaya ketika Majlis Peluncuran Pembangunan Industri Desa Bengkel Pembuatan Songkok di Sungai Panjang, Sabak Bernam pada 14 Ogos 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Satu lagi inisiatif ditawarkan adalah pertukaran songkok lama dengan yang baharu pada harga istimewa.

“Kami mahu orang ramai rasa bangga memakai songkok tempatan tanpa terbeban dengan harga,” jelas Mohd Hafzan.

Segala usaha gigih Mohd Hafzan akhirnya membuahkan hasil. Pada Aidilfitri lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menempah songkok Baginda daripada Songkok Malaya.

Ia bukan sekadar penghormatan tetapi bukti bahawa kerja tangan anak tempatan mampu memenuhi cita rasa singgahsana.

Bagi beliau, angka pengeluaran atau nilai jualan bukanlah ukuran sebenar kejayaan. Lebih penting adalah bagaimana songkok yang juga sebuah produk tradisional boleh menjadi jambatan antara generasi lama dan baharu.

Hakikatnya, Songkok Malaya bukan sekadar jenama. Ia adalah kisah mengenai seorang anak kampung yang menenun kembali maruah warisan dengan benang keyakinan.

Dari Sungai Panjang, cita-cita besar ini demi mengangkat martabat songkok Melayu untuk kembali berdiri megah di mata dunia.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.