JKM: Taska wajib miliki sijil pengurusan kecemasan, utamakan keselamatan anak

21 Ogos 2025, 7:38 AM
JKM: Taska wajib miliki sijil pengurusan kecemasan, utamakan keselamatan anak
JKM: Taska wajib miliki sijil pengurusan kecemasan, utamakan keselamatan anak
JKM: Taska wajib miliki sijil pengurusan kecemasan, utamakan keselamatan anak

SHAH ALAM, 21 OGOS: Taman asuhan kanak-kanak (taska) wajib miliki sijil pengurusan kecemasan dan mempamerkannya secara jelas di premis sebagai syarat utama kelulusan pendaftaran, kata Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.

Azmir Kassim berkata, langkah itu bertujuan memastikan pengasuh di setiap taska bersedia menghadapi situasi kecemasan serta memberikan keyakinan kepada ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak.

“Mulai tahun ini, setiap taska perlu ada sijil pengurusan kecemasan supaya pengasuh tahu apa tindakan yang perlu diambil jika berlaku perkara tidak diingini. Ini juga sebahagian daripada syarat sebelum taska diluluskan pendaftarannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutup Program Advokasi Perkhidmatan Taska dan Sambutan Hari Taska Selangor di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, baru-baru ini.

Menurut Azmir, sijil tersebut antara sebahagian daripada standard minimum yang perlu dipenuhi oleh pengusaha taska selain keperluan mengikuti kursus ditetapkan dan mematuhi ciri-ciri keselamatan tertentu.

Beliau menambah, JKM turut menetapkan pemantauan berkala yang akan dijalankan pegawai jabatan itu sebanyak dua kali setahun iaitu setiap enam bulan bagi memastikan standard dipatuhi secara konsisten.

Bagi memastikan pelaksanaan kursus berjalan lancar dan menepati piawaian, Azmir berkata JKM Selangor juga menyediakan modul dan silibus khas kepada persatuan taska sebagai syarat pendaftaran serta usaha meningkatkan profesionalisme pengasuh.

“Persatuan Taska, Tadika dan Pusat Jagaan Selangor (PTPJS) akan berperanan sebagai rakan pelaksana dalam menganjur dan menguruskan kursus kepada pengasuh serta pengusaha taska secara berkala.

“Dengan adanya modul yang komprehensif dan latihan sistematik, kita mahu pastikan setiap pengasuh faham tanggungjawab mereka, bersedia dalam semua situasi termasuk kecemasan dan tahu bagaimana untuk bertindak cepat serta berkesan,” jelasnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619