LUAS pantau, siasat peningkatan kekeruhan Sungai Batang Kali

20 Ogos 2025, 6:00 AM
LUAS pantau, siasat peningkatan kekeruhan Sungai Batang Kali

SHAH ALAM, 20 OGOS: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengaktifkan pemantauan di Sungai Batang Kali, Hulu Selangor susulan peningkatan kadar kekeruhan di Loji Rawatan Air (LRA) Batang Kali, malam tadi.

LUAS memaklumkan, siasatan juga digerakkan di kawasan berhampiran selepas kadar kekeruhan di LRA Batang Kali merekodkan 4,144 Unit Kekeruhan Nephelometric (NTU) berbanding bacaan biasa bawah 500 NTU.

Sehubungan itu, katanya, LRA Batang Kali telah dihenti tugas sementara bermula jam 7 petang sehingga 9 malam semalam sebagai langkah kawalan terhadap operasi loji berkenaan.

“Lewat petang semalam, kawasan tadahan Sungai Batang Kali menerima kadar hujan yang tinggi di mana situasi hujan berkenaan turut mengakibatkan aliran kekeruhan yang tinggi di sungai itu.

“Bagaimanapun, tiada sebarang kesan kepada pengguna berkaitan pembekalan air terawat susulan henti tugas sementara di LRA Batang Kali sebagaimana dimaklumkan oleh pihak Air Selangor,” katanya menerusi Facebook.

Menurut LUAS, hasil pemerhatian di lapangan mendapati masalah kekeruhan berkenaan berpunca daripada penerimaan hujan yang tinggi di kawasan hulu Sungai Batang Kali yang meningkatkan aliran air dalam kawasan tadahan.

“Bagaimanapun, LUAS menjalankan tindakan siasatan dan pemantauan susulan pagi ini bagi aktiviti-aktiviti berpotensi yang turut menyumbang kepada kekeruhan tersebut seperti aktiviti kerja tanah di kawasan aliran Sungai Batang Kali,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619