Lebih 540 kanak-kanak maut secara purata setiap bulan di Gaza - PBB

20 Ogos 2025, 12:30 AM
Lebih 540 kanak-kanak maut secara purata setiap bulan di Gaza - PBB
Lebih 540 kanak-kanak maut secara purata setiap bulan di Gaza - PBB

ISTANBUL, 20 OGOS: Lebih 540 kanak-kanak menjadi korban secara purata setiap bulan di Gaza sejak serangan Israel disambung semula pada Mac lepas, menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Selasa.

Sementara itu, Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) memberi amaran bahawa tempat perlindungannya telah bertukar menjadi “tempat kematian” bagi orang awam, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Di Gaza, sekolah-sekolah UNRWA telah menjadi tempat perlindungan bagi ratusan ribu orang. Orang ramai mencari perlindungan di bawah bendera PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), namun tempat ini akhirnya menjadi lokasi kematian, termasuk bagi terlalu ramai kanak-kanak,” kata UNRWA dalam kenyataan di platform media sosial X.

“Kini tiada tempat yang selamat untuk kanak-kanak di Gaza,” katanya lagi sambil menuntut gencatan senjata segera.

Agensi-agensi PBB memberi amaran mengenai kesan dahsyat kempen ketenteraan berterusan Israel terhadap kanak-kanak Gaza, apabila sekolah, hospital dan rumah dibedil tanpa henti.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, kebuluran telah meragut sekurang-kurangnya 266 nyawa rakyat Palestin, termasuk 112 kanak-kanak sejak Oktober 2023, berikutan sekatan semakin ketat dan kekurangan bantuan yang akut.

Israel telah membunuh lebih 62,000 rakyat Palestin di Gaza sejak Oktober 2023. Kempen ketenteraan itu telah memusnahkan wilayah berkenaan yang kini berdepan kebuluran.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619