Prestasi perdagangan Malaysia Julai 2025 cecah RM265.9 bilion

19 Ogos 2025, 4:56 AM
Prestasi perdagangan Malaysia Julai 2025 cecah RM265.9 bilion

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Prestasi perdagangan Malaysia kembali mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 3.8 peratus tahun ke tahun kepada RM265.92 bilion, nilai perdagangan bulanan tertinggi pernah direkodkan, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Dalam satu kenyataan hari ini, MITI berkata eksport meningkat 6.8 peratus kepada RM140.45 bilion, nilai tertinggi sejak September 2022, manakala import naik 0.6 peratus kepada RM125.47 bilion.

Lebihan perdagangan berterusan untuk bulan ke-63 berturut-turut, bernilai RM14.98 bilion pada Julai 2025, kata kementerian itu.

Ia berkata eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) naik mendadak hampir RM12 bilion kepada RM63.31 bilion, peningkatan 22.5 peratus tahun ke tahun, berbanding Julai 2024.

"Sektor itu kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan eksport Malaysia, di samping peralatan optik dan saintifik serta makanan terproses.

"Semua kategori ini mencatat nilai eksport tertinggi setakat ini. Penyumbang lain termasuk jentera, peralatan dan alat ganti serta produk berasaskan minyak sawit,” katanya.

MITI berkata eksport ke semua negara dagang utama seperti Asean, China, Amerika Syarikat (AS), Taiwan dan Kesatuan Eropah (EU) mencatatkan pertumbuhan yang positif, dengan eksport ke Taiwan mencecah nilai tertinggi setakat ini.

Eksport ke negara rakan perjanjian perdagangan bebas (FTA) juga meningkat, khususnya ke Mexico dan Republik Korea, dipacu terutamanya oleh eksport lebih tinggi produk E&E.

Bagi tempoh Januari hingga Julai 2025, prestasi perdagangan, eksport dan import mencapai nilai kumulatif tertinggi, dengan perdagangan melonjak 4.7 peratus kepada RM1.731 trilion tahun ke tahun, eksport berkembang 4.3 peratus kepada RM900.47 bilion dan import meningkat 5.1 peratus kepada RM830.16 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM70.32 bilion.

“Prestasi perdagangan Malaysia yang memberangsangkan dalam tujuh bulan pertama 2025 dicapai di sebalik prospek perdagangan global yang menunjukkan peningkatan secara berhati-hati,” kata MITI.

Sementara itu, MITI berkata Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) menyemak unjuran pertumbuhan jumlah dagangan barangan global pada 2025 kepada 0.9 peratus, meningkat daripada jangkaan penyusutan 0.2 peratus sebelum ini, sebahagian besarnya dipacu oleh lonjakan import AS pada awal tahun ini.

Selain itu, keputusan Kerajaan AS mengurangkan tarif timbal balik terhadap eksport Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus mencerminkan usaha diplomasi perdagangan MITI yang berdisiplin dan terancang.

“Paras tarif ini, yang hampir sejajar dengan rakan serantau di Asean, akan terus menyokong daya saing negara,” kata kementerian itu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619