Risikan bocor malapetaka kepada negara, Anwar jamin siasatan menyeluruh

19 Ogos 2025, 4:47 AM
Risikan bocor malapetaka kepada negara, Anwar jamin siasatan menyeluruh

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan negara, khususnya berkaitan kebocoran maklumat dalam badan risikan dan memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh.

Anwar berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini diberi laluan sepenuhnya untuk menjalankan siasatan terhadap pelbagai kes berprofil tinggi, termasuk salah guna kuasa dalam agensi perisikan yang menjual rahsia negara demi keuntungan peribadi.

“Kalau ada sekelompok seperti kartel yang mengambil keuntungan dan menjual rahsia, ini soal besar dalam negara, jadi biar ada siasatan awal, saya dah beri maklumat kepada Panglima Angkatan Tentera Udara dan juga semuanya termasuk Pengarah Bahagian Risikan.

“Saya tunggu dulu laporan awal, tapi kita tidak akan berselindung kerana kalau kita mula kompromi dengan masalah pencerobohan dalam badan risikan, itu malapetaka bagi negara kita,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang ingin tahu tindakan kerajaan selepas timbul pelbagai isu keselamatan negara termasuk kes kebocoran operasi pertahanan negara dan insiden melibatkan anak bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli.

Pada 14 Ogos, SPRM mereman 10 individu termasuk lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan dua wartawan sebuah portal berita, dipercayai terbabit sindiket penyeludupan di selatan tanah air.

Anwar berkata kerajaan hari ini tidak harus dipersalahkan akibat timbulnya kes tersebut, kerana pentadbiran hari ini terus menerapkan pendekatan toleransi sifar terhadap rasuah, apatah lagi melibatkan jentera kerajaan yang diamanahkan.

Beliau berkata siasatan awal telah mengenal pasti kes tersebut sejak 2020, namun hanya terbongkar pada tahun ini selepas SPRM diberi laluan sepenuhnya untuk menyiasat perkara tersebut, selain mengingatkan agar isu berkenaan tidak dipolitikkan.

“Saya nak tegaskan, jangan tuding jari kepada kita kerana perkara ini berlaku lama sebelum ini dan tidak ada tindakan sebelum ini.

“Hal kes-kes yang lama tertangguh, yang orang boleh kumpul bilion-bilion, kadang-kadang Yang Berhormat pertahan pula, (sebab) itu kita kaji dan buat siasatan dan kalau ada kes, akan ada pendakwaan, tetapi bila ada kes-kes besar, janganlah pertahan (kerana) dalam kes seperti ini, ini bukan perkara ringan,” katanya.

Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa tiada individu akan dilindungi jika terbukti terlibat dalam salah laku, termasuk dalam kes melibatkan anak Rafizi, pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir atau rasuah membabitkan individu berprofil tinggi di Sabah.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619