SHAH ALAM, 18 OGOS: Aplikasi Flexi Parking masih digunakan di tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) yang telah melaksanakan kutipan menerusi sistem Parkir Pintar Selangor atau Selangor Intelligent Parking (SIP) bermula 1 Ogos lalu.
EXCO pembudayaan inovasi berkata setakat ini, aplikasi tersebut masih dipakai sehingga satu keputusan rasmi dibuat Kerajaan Negeri berhubung penggunaannya dengan lebih meluas.
“Buat masa ini, Flexi Parking masih boleh digunakan sehingga keputusan dibuat di peringkat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.
“Perlu ada kerangka untuk penggunaannya dan ia masih belum dibentang, namun kita berharap dengan pelaksanaannya dapat tingkat penguatkuasaan selain mempunyai kaedah yang kemas dan teratur,” kata Dr Mohammad Fahmi Ngah.
Beliau berkata demikian ketika majlis pengiktirafan Flexi Parking yang berjaya melakar sejarah dan diiktiraf The Malaysia Book of Records (MBR) di sini hari ini.

Menerusi majlis itu, Flexi Parking mencipta dua rekod iaitu aplikasi tempat letak kereta bersepadu yang paling meluas di Malaysia dan transaksi bayaran parkir tertinggi dalam tempoh sehari.
Terdahulu, Mohammad Fahmi memaklumkan 461,265 transaksi diperoleh menerusi Flexi Parking yang mana lebih 100,000 transaksi adalah di Selangor sahaja melibatkan 11 PBT.
Sebelum ini, EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim memaklumkan syarikat Rantaian Mesra Sdn Bhd akan melaksanakan kutipan parkir menerusi SIP di tiga PBT.
PBT berkenaan ialah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) manakala Majlis Bandaraya Petaling Jaya ( MBPJ) masih di peringkat perbincangan.

Dalam pada itu, Mohammad Fahmi menegaskan tiada kenaikan caj parkir biarpun sistem yang dilengkapi dengan teknologi kamera litar tertutup (CCTV) dilaksana.
“Pelaksanaan SIP itu dilengkapi dengan penggunaan teknologi CCTV yang dapat menjamin penguatkuasaan lebih baik selain caj kutipan masih lagi dikekalkan setakat ini.
“Sistem baharu ini juga merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri menjadi bandar pintar kerana ia turut memantau kebersihan, keselamatan dan banjir,” katanya.