MB: Konsesi parkir dinilai ikut keupayaan, bukan nama pemilik

21 Nov 2025, 4:36 PM
MB: Konsesi parkir dinilai ikut keupayaan, bukan nama pemilik
MB: Konsesi parkir dinilai ikut keupayaan, bukan nama pemilik
MB: Konsesi parkir dinilai ikut keupayaan, bukan nama pemilik

SUBANG JAYA, 22 NOV: Setiap penilaian pemilihan syarikat untuk projek Kerajaan Negeri adalah bergantung kepada keupayaan dan sumbangan syarikat, bukan berdasarkan nama pemilik atau kaitan keluarga.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan bahawa Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak terlibat dalam proses pemilihan syarikat yang diberikan konsesi parkir di bawah program sistem Parkir Pintar Selangor (SIP).

“MMKN tidak terlibat kerana perkara itu diserahkan kepada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI untuk proses saringan namun ia tidak menyemak sehingga siapa pemilik sebenar syarikat terbabit.

"Saya percaya penilaian tidak bergantung kepada siapa yang tertulis di kertas tender tetapi keupayaan dan sumbangan syarikat dalam menyediakan sistem parkir yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Negeri Selangor 2025 di The Roundabout, Putra Heights, semalam.

Amirudin turut memaklumkan maklumat diterima menunjukkan syarikat berkenaan pernah membuktikan keupayaan mendapatkan projek di Johor sebelum ini dan kini di Kuala Lumpur.

Beliau menambah, jika sesebuah syarikat mempunyai rekod keupayaan yang kukuh, tidak timbul sebarang kesalahan untuk mereka terlibat dengan institusi diraja termasuk sekiranya institusi tersebut berperanan sebagai penaung atau pengerusi.

Sebelum ini, timbul dakwaan seorang kerabat diraja Selangor dikaitkan dengan sebuah syarikat yang dianugerahkan tiga konsesi di bawah inisiatif Kerajaan Negeri untuk menswastakan tempat letak kereta.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619