Kanak-kanak lelaki hilang ketika mandi sungai ditemukan lemas pagi ini

18 Ogos 2025, 4:19 AM
Kanak-kanak lelaki hilang ketika mandi sungai ditemukan lemas pagi ini

DUNGUN, 18 OGOS: Kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang sebelum ini dilaporkan hilang ketika mandi sungai bersama rakannya di Sungai Kampung Delong di sini pada Sabtu, ditemukan lemas pagi ini.

Penolong Penguasa Bomba Zon 2 Terengganu Sa’ariah Hassan berkata mayat Nik Zariff Maliqi Qausar Nik Sulaiman ditemukan 8.24 pagi tadi pada jarak 700 meter dari lokasi kanak-kanak itu dilaporkan hilang.

“Mayat mangsa ditemukan terapung oleh pasukan penyelamat hari ini, iaitu hari ketiga operasi pencarian,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Beliau berkata tiga bot digunakan dalam operasi pencarian mangsa yang disertai kira-kira 40 anggota pasukan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk kampung.

Sa’ariah berkata mayat murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Delong itu diserahkan kepada polis untuk proses pengecaman dan tindakan lanjut.

Sebelum ini Nik Zariff Maliqi Qausar dilaporkan hilang ketika mandi-manda bersama empat rakan di Sungai Kampung Delong pada 5.54 petang Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Maizura Abdul Kadir berkata kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang berasal dari Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) dihanyutkan arus deras ketika mandi.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619