46 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza

16 Ogos 2025, 3:18 PM
46 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza

GAZA, 16 OGOS: Sekurang-kurangnya 46 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel di seluruh Semenanjung Gaza pada Jumaat, menurut Pertahanan Awam Gaza, lapor Xinhua.

Jurucakap Pertahanan Awam Gaza Mahmoud Basal, berkata tujuh orang terbunuh dalam serangan udara yang menyasarkan khemah penduduk yang kehilangan tempat tinggal di kejiranan Al-Rimal, barat Bandaraya Gaza.

Beliau berkata enam lagi, termasuk dua kanak-kanak, terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah bangunan sekolah yang menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal di kejiranan al-Daraj, timur Bandaraya Gaza.

Sekurang-kurangnya 24 orang, termasuk seorang wanita dan dua kanak-kanak, dibunuh oleh tentera Israel ketika sedang menunggu untuk menerima bantuan makanan di hadapan pusat pengagihan bantuan di utara Rafah, selatan Semenanjung Gaza, di persimpangan Netzarim di tengah Semenanjung, dan di lintasan Zikim di utara, menurut Basal.

Beliau menambah empat orang, termasuk seorang kanak-kanak perempuan, terbunuh dalam serangan artileri Israel yang menyasarkan perhimpunan penduduk Palestin dan sebuah rumah kediaman di kejiranan Zeitoun dan Tuffah, timur Bandaraya Gaza.

Dua lagi terbunuh dalam serangan udara ke atas khemah yang menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal di atas bumbung bangunan klinik pesakit luar di Hospital al-Aqsa di Deir al-Balah, tengah Semenanjung Gaza, kata Basal.

Menurut Basal, tiga rakyat Palestin, termasuk seorang bayi, juga terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan khemah yang menempatkan orang awam yang kehilangan tempat tinggal di barat Bandaraya Gaza,

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dalam kenyataan pada Jumaat berkata tentera Israel meneruskan serangan ke atas Semenanjung Gaza, termasuk Bandaraya Gaza dan Khan Younis.

Sejak Israel menyambung semula kempen ketenteraan besar-besaran pada 18 Mac, sekurang-kurangnya 10,300 rakyat Palestin terbunuh dan 43,234 cedera, menjadikan jumlah keseluruhan korban di Gaza sejak konflik bermula pada Oktober 2023 kepada 61,827 orang dan 155,275 lagi cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza pada Jumaat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619