Kapal bantuan Umm Al Emarat belayar ke Semenajung Gaza

13 Feb 2026, 12:32 AM
Kapal bantuan Umm Al Emarat belayar ke Semenajung Gaza

ABU DHABI, 13 FEB: Kapal bantuan Umm Al Emarat telah memulakan pelayaran ke Semenanjung Gaza sebagai sebahagian daripada usaha kemanusiaan dan bantuan berterusan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menyokong rakyat Palestin, bersempena dengan ketibaan bulan suci Ramadan.

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada rangka kerja kemanusiaan UAE yang bertujuan untuk meringankan penderitaan orang awam dan memenuhi keperluan asas di tengah-tengah keadaan kemanusiaan yang mencabar.

Sebanyak 16 organisasi amal dan kemanusiaan dari seluruh wilayah UAE menyumbang kepada penyediaan kargo kapal itu yang membawa lebih 7,300 tan pelbagai bekalan bantuan.

Ia merangkumi barangan makanan, bahan perlindungan dan bekalan perubatan bagi membantu menyokong keterjaminan makanan serta memperkukuh tindak balas segera kemanusiaan terhadap keperluan keluarga yang terjejas di Semenanjung Gaza.

Bantuan makanan termasuk bungkusan makanan, bekalan untuk menyokong dapur komuniti dan buah kurma, manakala bantuan perlindungan terdiri daripada pakaian Hari Raya, kit bantuan, khemah serta keperluan asas isi rumah, yang kesemuanya bertujuan untuk menggalakkan keadaan hidup yang bermaruah bagi keluarga yang terjejas.

Kapal bantuan Umm Al Emarat, iaitu kapal ke-13 yang dihantar oleh UAE ke Semenanjung Gaza, merupakan sebahagian daripada jambatan kemanusiaan maritim yang berterusan untuk menyokong rakyat Palestin dan mencerminkan usaha berterusan UAE dalam menangani keperluan kemanusiaan dalam tempoh kritikal ini.

Dari aspek perubatan, kapal itu membawa pelbagai peralatan dan bekalan termasuk alat bantuan pernafasan, meja dan katil perubatan, kerusi perubatan serta pelitup muka pelindung.

Ia turut membawa peranti penulenan udara bagi menyokong sektor penjagaan kesihatan serta meningkatkan kapasiti kemudahan perubatan untuk menangani keperluan mendesak dalam situasi kesihatan yang sukar.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619