Polis temui petunjuk kes serangan anak Rafizi, 14 individu dipanggil bantu siasatan

16 Ogos 2025, 8:20 AM
Polis temui petunjuk kes serangan anak Rafizi, 14 individu dipanggil bantu siasatan

KUALA LUMPUR, 16 OGOS: Polis menemukan beberapa petunjuk positf bagi mengesan suspek terlibat dengan kes serangan terhadap anak lelaki Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, Rabu lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata petunjuk berkenaan diperoleh hasil penelitian dan semakan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan terbabit.

“Terdapat petunjuk menerusi rakaman CCTV namun tidak sepenuhnya pada waktu ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata setakat ini 14 individu sudah dipanggil bagi membantu siasatan kes itu.

Pada masa sama, Shazeli berkata pihaknya turut menjalankan siasatan berhubung mesej ugutan yang diterima isteri Rafizi berkait insiden terbabit dan mengesahkan kali pertama isteri bekas Menteri Ekonomi itu menerima mesej terbabit melalui aplikasi WhatsApp.

Laporan berhubung ugutan itu juga sudah dibuat isteri Rafizi dan siasatan sedang dijalankan dengan bantuan agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengesan pihak bertanggungjawab.

Rabu lalu, media melaporkan polis mengesahkan anak bekas timbalan presiden PKR itu diserang dalam kejadian kira-kira 2 petang, di kawasan mengambil dan menurun penumpang, sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.

Rafizi mendakwa serangan itu melibatkan dua lelaki berpakaian hitam serta bertopi keledar yang menaiki sebuah motosikal dengan seorang daripadanya bertindak mengheret anaknya sebelum mencucuk sesuatu dengan menggunakan jarum suntikan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619