Akaun TikTok sebar berita tidak sahih kes Zara Qairina disiasat polis

16 Ogos 2025, 8:01 AM
Akaun TikTok sebar berita tidak sahih kes Zara Qairina disiasat polis
Akaun TikTok sebar berita tidak sahih kes Zara Qairina disiasat polis

KUALA LUMPUR, 16 OGOS: Polis sedang menyiasat satu akaun media sosial TikTok yang disyaki memuat naik kandungan tidak tepat dan tidak sahih berhubung kes kematian pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir, sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M Kumar berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Ia melibatkan kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian serta kandungan yang mempunyai kecenderungan menghasut kebencian terhadap mana-mana pihak, selain boleh menyebabkan kegusaran dan kegentaran awam.

“Penyebaran maklumat tidak sahih juga boleh menjejaskan kelancaran serta keberkesanan proses siasatan polis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau turut menyeru orang ramai menghentikan tindakan menyebarkan maklumat tidak sahih kerana boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah, pada 17 Julai selepas dimasukkan ke hospital, setelah dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar pada 4 pagi, 16 Julai.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619