Peniaga rugi lebih RM79,000 diperdaya sindiket penipuan dalam talian

15 Ogos 2025, 2:00 PM
Peniaga rugi lebih RM79,000 diperdaya sindiket penipuan dalam talian

SIBU, 15 OGOS: Polis mengesahkan seorang peniaga tempatan kerugian lebih RM79,000 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan dalam talian awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata mangsa seorang lelaki berusia 50-an, mula terperdaya selepas mengikuti siaran langsung di laman sosial Facebook yang mempromosikan cabutan kotak hadiah pada 7 Ogos lepas.

“Mangsa membuat bayaran RM499 ke akaun yang diberikan untuk menyertai aktiviti itu, namun tidak memenangi sebarang hadiah. Selepas itu, mangsa menerima panggilan melalui aplikasi WhatsApp daripada nombor luar negara.

“Pemanggil memperkenalkan diri sebagai wakil sebuah syarikat emas dari Shanghai, China yang bakal membuka cawangan di Malaysia. Mereka akan mengadakan cabutan bertuah dalam bentuk kotak hadiah mengandungi wang tunai mata wang dolar Amerika Syarikat dan peluang menjadi rakan niaga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa bersetuju untuk membeli 80 kotak hadiah dan membuat bayaran ke akaun yang diberikan oleh suspek.

Pada 12 Ogos, mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita yang memaklumkan kotak hadiah telah dibuka dan mangsa memenangi wang tunai USD288,888.88 (RM1,218,677.74) yang akan dipindahkan ke akaunnya pada hari sama.

Dari 7 hingga 13 Ogos, mangsa membuat 11 transaksi berjumlah RM79,499 ke dua akaun tempatan, namun tiada wang diterima dan mesej WhatsApp mangsa disekat.

“Mangsa yang curiga membuat laporan polis pada 14 Ogos dan polis mengesahkan menerima laporan itu,” katanya.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619