Oleh Chua Kee Hwai
SHAH ALAM, 15 OGOS: Seramai 1.77 juta pelancong direkodkan berkunjung ke Selangor dalam masa tiga bulan pertama tahun ini dengan lapan daripada setiap 10 orang adalah pelancong tempatan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling.
Tourism Selangor juga menganggarkan daripada jumlah itu lebih kurang 500,000 orang adalah pelancong antarabangsa.
Pencapaian itu melengkapkan 22 peratus daripada sasaran tahunan lapan juta pelancong sekali gus meletakkan asas kukuh bagi pembangunan pelancongan negeri pada separuh kedua tahun ini.
Menurut data Tourism Selangor jumlah pelancong suku pertama mencatat penurunan kecil 0.6 peratus berbanding 1.777 juta pelancong dalam tempoh sama pada 2024.
Jumlah pelancong domestik juga berkurang sedikit 0.3 peratus disebabkan Ramadan yang bermula lebih awal pada 2 Mac tahun ini sekali gus mengurangkan kecenderungan melancong antara negeri.
Dari Januari hingga Februari tahun ini, jumlah pelancong meningkat daripada 593,299 orang kepada 599,058 orang (peningkatan satu peratus) namun menurun kepada 575,701 orang pada Mac (susut 3.9 peratus berbanding bulan sebelumnya) sekali gus mencapai 96 peratus daripada sasaran suku pertama tahun ini sebanyak 1.84 juta pelancong.

Chua berkata, Kuala Lumpur kekal sebagai penyumbang terbesar pelancong ke Selangor diikuti Johor, Perak, Pahang dan Pulau Pinang. Lima negeri itu menyumbang 37 peratus daripada jumlah keseluruhan pelancong.
Daripada jumlah itu, Johor, Kedah, Pulau Pinang dan Perak mencatatkan peningkatan dengan Kedah merekodkan kadar tertinggi 4.9 peratus diikuti Pulau Pinang (4 peratus), Johor (2.8 peratus) dan Perak (0.2 peratus).
Berdasarkan daerah, Petaling mencatat jumlah pelancong tertinggi dengan 53.8 peratus diikuti Sepang (14.7 peratus), Hulu Langat (8.5 peratus), Klang (8.4 peratus), Gombak (7.7 peratus), Hulu Selangor (3.3 peratus), Kuala Selangor (0.7 peratus) dan Sabak Bernam (0.7 peratus).
Bagi pihak berkuasa tempatan (PBT), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berada di kedudukan teratas dengan 23.1 peratus, diikuti Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ, 22.5 peratus), Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang, 14.7 peratus), Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK, 8.4 peratus) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA, 8.2 peratus).
"Majlis Perbandaran Hulu Selangor merekodkan kadar pertumbuhan pelancong tertinggi, melonjak 312.9 peratus berbanding tempoh sama pada 2024. Kebanyakan PBT turut mencatat pertumbuhan antara 0.6 hingga 312.9 peratus,” katanya ketika ditemui Media Selangor.
Menurutnya, kadar penginapan purata (KPP) hotel di Selangor bagi suku pertama 2025 ialah 45 peratus, menurun lima peratus berbanding 50 peratus dalam tempoh sama pada 2024. Namun, lima PBT mencatatkan peningkatan kadar penginapan, menunjukkan industri pelancongan di beberapa kawasan terus mencatat momentum positif.