SHAH ALAM, 20 MAC: Tourism Selangor terus memperluas jaringan global bagi memperkukuh kedudukan Selangor sebagai destinasi pelancongan utama di rantau menerusi penerokaan kerjasama dengan Jepun.
Agensi pelancongan negeri itu memaklumkan satu kunjungan hormat delegasi wakil pegawai kerajaan Wilayah Fukui, Jepun ke pejabat Tourism Selangor pada 17 Mac lalu, sebahagian usaha memperkukuh hubungan kerjasama dua hala dalam sektor pelancongan.
“Sesi perbincangan diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling, bersama barisan ketua jabatan ini memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama strategik, termasuk perkongsian amalan terbaik.
“Selain itu, penerokaan potensi pertukaran budaya serta pembangunan inisiatif bersama bagi meningkatkan daya tarikan kedua-dua destinasi di peringkat antarabangsa,” katanya di Facebook.
Menurutnya, Tourism Selangor komited untuk terus memperluas jaringan kerjasama global serta memperkukuh kedudukan Selangor sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini.
Sebelum ini, Yee Ling berkata kempen Tahun Melawat Selangor (TMS) akan diteruskan tahun ini seiring dengan pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026 bagi memastikan kesinambungan promosi pelancongan negeri ini.
Ia merupakan usaha nasional sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, selain memastikan promosi pelancongan Selangor kekal berterusan dan berimpak.








