Jabatan Peguam Negara: Tidak timbul isu Anwar hilang kelayakan sebagai PM, wakil rakyat

14 Ogos 2025, 1:45 PM
Jabatan Peguam Negara: Tidak timbul isu Anwar hilang kelayakan sebagai PM, wakil rakyat

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Tidak timbul sebarang isu kehilangan kelayakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ahli Dewan Rakyat dan Perdana Menteri, menurut Jabatan Peguam Negara (AGC).

AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan hal itu berikutan Perintah Pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-15 menyatakan bahawa Anwar telah diberikan pengampunan sepenuhnya dan dianggap sebagai seorang yang tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan.

"Sebarang cabaran terhadap pemilihan seseorang Ahli Parlimen seharusnya melalui petisyen pilihan raya sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan dan hendaklah difailkan dalam tempoh sebagaimana yang ditetapkan di bawah Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," menurut AGC.

Kenyataan AGC itu adalah respons kepada laporan media berhubung tindakan saman yang difailkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy bagi mencabar kelayakan Anwar sebagai Ahli Parlimen bagi kawasan Tambun dan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri.

AGC berkata asas kepada tindakan Waytha Moorthy tersebut adalah pengampunan yang telah diberikan kepada Anwar tidak mengandungi sebarang pembatalan terhadap kehilangan kelayakan Anwar di bawah Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.

"Jabatan ini menghormati hak mana-mana individu untuk memfailkan tindakan di mahkamah. Dalam hal ini, Mahkamah Rayuan dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim v Mohd Khairul Azam Abdul Aziz [2023] 2 MLJ 545 telah memutuskan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk mengampunkan terhadap sabitan dan hukuman," menurut kenyataan itu.

Pada 12 Ogos lepas, Waytha Moorthy memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi di sini bagi mendapat perisytiharan bahawa pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri pada 24 Nov 2022, adalah tidak berperlembagaan, terbatal dan tidah sah.

Pengerusi Hindraf itu turut memohon perisytiharan bahawa pemilihan Anwar sebagai Ahli Parlimen Tambun dalam Pilihan Raya Umum ke-15 juga tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619