ad

Tawaran nombor pendaftaran SIS dibuka esok

14 Ogos 2025, 3:36 AM
Tawaran nombor pendaftaran SIS dibuka esok

SHAH ALAM, 14 OGOS: Orang awam yang berhasrat memiliki nombor pendaftaran istimewa (NPI) dengan tanda indeks 'SIS' yang bermaksud 'Sultan Idris Shah' boleh membuat bidaan bermula esok.

Menurut hantaran di Facebook Selangor Royal Office, bidaan NPI SIS dibuka sempena sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Ke-80 Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Disember ini dan sambutan Jubli Perak sempena 25 tahun pemerintahan baginda tahun hadapan.

Nombor pendaftaran istimewa itu ditawarkan Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) secara bidaan dalam talian Sistem JPJeBid.

“Bidaan kepada orang awam berdasarkan ketetapan berikut, iaitu tarikh buka bermula 15 Ogos (Jumaat), manakala tutup pada 10 malam, 19 Ogos (Selasa).

"Tarikh bagi keputusan bidaan pula pada 20 Ogos depan (Rabu)," menurut hantaran itu.

Kaedah penawaran secara bidaan itu tertakluk kepada terma dan syarat sedia ada yang ditetapkan melalui Sistem JPJeBid, manakala harga bidaan mengikut harga minima ditetapkan JPJ.

JPJ satu-satunya entiti yang akan menguruskan penjualan NPI itu dan tiada pihak ketiga terlibat dalam proses berkaitan.

Sebahagian hasil jualan bakal disalurkan kepada sebuah yayasan di bawah naungan Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk kegunaan aktiviti kebajikan termasuk biasiswa serta dana kecemasan bagi membantu mereka yang memerlukan.

Menurut hantaran itu, yayasan berkenaan kelak bakal dipengerusikan oleh Ahli Dewan Diraja Selangor yang juga bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Muhammad Ibrahim dan akan diuruskan tertakluk kepada prosedur serta tadbir urus yang telus.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.