Aplikasi MyBT3 mudahkan penduduk akses maklumat, bantuan, program

8 Ogos 2025, 1:00 AM
Aplikasi MyBT3 mudahkan penduduk akses maklumat, bantuan, program

SHAH ALAM, 8 OGOS: Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga kini boleh mengakses pelbagai maklumat perkhidmatan komuniti serta membuat permohonan bantuan Kerajaan Negeri dengan lebih mudah menerusi aplikasi mudah alih, MyBT3.

Wakil rakyatnya Danial Al-Rashid Haron berkata aplikasi itu yang mula dibangunkan sejak tahun lalu, kini diperkemas dengan pelbagai fungsi termasuk permohonan bantuan, hebahan dan pendaftaran program komuniti serta kehadiran peserta ke aktiviti dianjurkan.

“Tahun lepas lebih kepada penyampaian maklumat sahaja, tapi tahun ini kita masuk ke fasa menggunakan aplikasi ini untuk permohonan bantuan seperti baucar beli belah Jom Shopping Deepavali nanti.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga Danial Al-Rashid Haron berucap ketika program Jualan Ehsan Rahmah DUN Batu Tiga di Pangsapuri Seri Nipah, Subang Jaya pada 15 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Tapi tidak semua bantuan, sebab ada sebahagian permohonan seperti Bingkas (Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor) dan sebagainya semua ada sistem sendiri.

“Selain itu, pemakluman program anjuran DUN Batu Tiga yang akan dan sedang dilaksana seperti klinik bola sepak, bengkel dan sebagainya turut dihebahkan di aplikasi itu dan boleh mendaftar di situ sekiranya berminat menyertai,” katanya kepada Media Selangor.

Jelasnya, menyedari kepentingan pendigitalan, pihak DUN Batu Tiga mengambil pendekatan ini bagi memastikan masyarakat tidak lagi bergantung kepada kaedah manual semata-mata seperti borang fizikal, sekali gus mengurangkan kesesakan di kaunter pusat khidmat masyarakat.

“Sekarang semua sudah beralih kepada digital. Kita mahu masyarakat di Batu Tiga juga seiring dengan perkembangan ini. Walaupun begitu, bagi mereka yang kurang celik teknologi terutama warga emas, bantuan pendaftaran disediakan,” katanya.

Menurutnya, aplikasi MyBT3 boleh dimuat turun menerusi App Store dan Google Play Store secara percuma bagi memudahkan penduduk mengakses maklumat perkhidmatan komuniti serta memohon bantuan yang disediakan Kerajaan Negeri.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619