ad

Tarif baharu AS beri kesan kepada operasi syarikat, pekerjaan - Pakar

7 Ogos 2025, 1:52 PM
Tarif baharu AS beri kesan kepada operasi syarikat, pekerjaan - Pakar

SHAH ALAM, 7 OGOS: Pelaksanaan tarif baharu oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap beberapa produk eksport utama Malaysia dijangka memberi kesan kepada kos operasi syarikat tempatan dan keupayaan mengekalkan tenaga kerja, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).

Menurut Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Normaz Wana Ismail, meskipun kadar baharu 19 peratus yang dikenakan lebih rendah berbanding kadar terdahulu (25 peratus), ia masih memberi cabaran kepada daya saing eksport negara.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Normaz Wana Ismail

“Tarif adalah cukai ke atas barangan yang diimport. Jadi, ini merupakan satu kos perdagangan yang akan membebankan mana-mana syarikat terlibat dalam perdagangan antarabangsa.

"Walaupun kita dapati pasca tarif ini berlaku sedikit penurunan tetapi kita tidak gembira kerana 19 peratus itu masih lagi tinggi pada pandangan saya,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau menjelaskan bahawa peningkatan kos mungkin memberi kesan kepada keuntungan, pelaburan dan operasi, terutama jika permintaan terhadap barangan Malaysia di pasaran AS mula merosot.

Sektor logistik berkembang pesat di Pelabuhan Klang dan akan diperluas ke Pulau Carey bagi menjana ekonomi negeri. Foto ARKIB SELANGORKINI

“Contohnya, di Amerika Syarikat, harga barang import dari Malaysia akan menjadi lebih mahal. Apa kesannya? Ia memberi kesan kepada pengguna sama ada isi rumah atau syarikat pengeluaran tempatan di sana sekali gus mengurangkan permintaan terhadap barang import dari Malaysia.

“Seperti yang disebut, produk seperti E&E, perabot, dan getah antara eksport utama kita ke Amerika. Apabila permintaan merosot, ia bukan sahaja menjejaskan syarikat tetapi juga pengeluaran serta peluang pekerjaan,” ujarnya.

Tambah beliau, eksport memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia, terutama sebagai negara membangun yang bergantung kepada perdagangan terbuka.

“Eksport bukan sekadar aktiviti perdagangan. Ia adalah indikator utama kejayaan dasar perdagangan terbuka. Pada 2024, nilai eksport Malaysia mencecah RM1.5 trilion, hampir 72 peratus daripada KDNK,” katanya.

Suasana Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), Kuala Lumpur pada 17 September 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Dalam masa sama, beliau optimis eksport mampu terus diperkukuh sekiranya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dilibatkan secara aktif dalam rantaian bekalan serta diberi sokongan untuk berinovasi.

“Eksport membuka ruang kepada PKS berkembang, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan menggalakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

"Untuk bersaing di pasaran antarabangsa, syarikat perlu berinovasi dan memperkukuh daya saing, ini akan melonjakkan keseluruhan industri kita,” katanya.

Menurut Normaz Wana lagi, kehadiran syarikat Malaysia dalam pasaran global menunjukkan keupayaan bersaing di peringkat antarabangsa.

“Apabila syarikat mampu bertapak di pasaran luar, itu bukti mereka berdaya saing dan menepati piawaian antarabangsa,” jelasnya.

Beliau turut menyarankan Malaysia memperluas pasaran eksport dengan memanfaatkan sepenuhnya perjanjian perdagangan bebas seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) serta Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memegang senarai tarif ke atas pelbagai negara di Rumah Putih di Washington DC, Amerika Syarikat, pada 2 April 2025. Foto REUTERS

Pada 1 Ogos lalu, Amerika Syarikat mengumumkan kadar tarif baharu sebanyak 19 peratus ke atas beberapa produk dari Malaysia, menurun daripada kadar asal 25 peratus yang diumumkan 7 Julai. Selain Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja turut terlibat dalam langkah tarif berkenaan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.