SHAH ALAM, 7 OGOS: Penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) bersama Pameran Udara Selangor (SAS) Oktober ini merupakan langkah strategik menyatukan kekuatan sektor utama negeri.
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata penganjuran serentak dua program utama Selangor itu juga berkemampuan menarik lebih banyak jaringan pelaburan serta perdagangan berskala antarabangsa sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi.
“Aeroangkasa merupakan antara pertumbuhan baharu di Selangor. Lebih 60 peratus pemain industri bertaraf antarabangsa beroperasi di sini meliputi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pembuatan komponen, logistik dan latihan teknikal.
“Harap dapat mencatatkan jumlah transaksi melepasi pencapaian SIBS tahun lepas. Tahun ini SIBS jadi platform menyeluruh termasuk pembuatan, digital, halal, makanan, logistik dan aeroangkasa,” katanya kepada Media Selangor.

Berhubung penganjuran julung kali Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor pada SIBS ini, Sze Han berkata sidang itu menekankan fokus kepada sektor penjagaan kesihatan, warga emas, kanak-kanak dan golongan keperluan khas.
“Ini merupakan satu sektor strategik selari dengan perubahan demografi negara. Sidang ini bukan sahaja sebagai keperluan sosial tetapi membuka peluang pertumbuhan ekonomi, menjana pekerjaan bernilai tinggi terutama wanita dan komuniti rentan seperti B40,” katanya.
Pada Februari, Sze Han memaklumkan SIBS yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur akan memperkukuh kedudukan negeri sebagai hab ekonomi Malaysia dan pintu gerbang Asean.
Menyasarkan nilai transaksi RM10 bilion serta dikunjungi 50,000 pelawat, sidang kali ini menawarkan lebih 700 reruai kepada pemain industri sama ada dalam kalangan tempatan atau antarabangsa.
Tahun lalu, SIBS yang julung kali diadakan secara dua siri iaitu pada Julai dan Oktober, merekodkan nilai transaksi RM13.86 bilion. Pencapaian membanggakan itu melebihi sekali ganda dari 2023 yang memperoleh RM6.12 bilion.