EXCO: SIBS buka tirai esok, sasar nilai transaksi RM13 bilion

7 Okt 2025, 3:02 AM
EXCO: SIBS buka tirai esok, sasar nilai transaksi RM13 bilion

SHAH ALAM, 7 OKT: Kerajaan Negeri berharap nilai transaksi Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 mampu melepasi angka RM13.86 bilion yang direkodkan tahun lalu.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata bagaimanapun pihaknya tetap menyasarkan sejumlah RM10 bilion nilai perolehan sepanjang empat hari sidang berlangsung selain mampu menarik kehadiran 50,000 pengunjung.

“Sasaran ini atas beberapa faktor termasuk Malaysia merupakan pengerusi Asean tahun ini. Kedudukan Selangor sebagai negeri paling maju akan menarik minat delegasi perniagaan, pelabur dan pempamer dari negara anggota Asean serta rakan dagang serantau.

“Ini juga merupakan platform dan peluang keemasan untuk syarikat tempatan terutama perindustrian kecil dan sederhana membentuk jaringan hubungan strategik seterusnya dapat meneroka pasaran baharu di rantau ini,” katanya kepada Media Selangor.

Sze Han berkata pihaknya mengharapkan sidang yang membuka tirai esok hingga Sabtu ini akan terus mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai hab pelaburan utama Asean selain berupaya membantu lebih banyak syarikat tempatan menembusi pasaran global.

Pada Februari, beliau memaklumkan SIBS yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur menawarkan lebih 700 reruai kepada pemain industri sama ada dalam kalangan tempatan atau antarabangsa.

Sidang tahunan yang dianjur sejak 2015 memperkenalkan dua acara baharu iaitu Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor dan Sidang Kemuncak Aeroangkasa Selangor (SAS), yang sebelum ini dikenali Pameran Udara Selangor.

Tahun lalu, SIBS yang julung kali diadakan secara dua siri iaitu pada Julai dan Oktober, merekodkan nilai transaksi RM13.86 bilion. Pencapaian membanggakan itu melebihi sekali ganda dari 2023 yang memperoleh RM6.12 bilion.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619