Sempadan Thailand-Kemboja tenang menjelang rundingan gencatan senjata

6 Ogos 2025, 6:56 AM
Sempadan Thailand-Kemboja tenang menjelang rundingan gencatan senjata

BANGKOK, 6 OGOS: Situasi di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja kekal tenang tanpa sebarang laporan insiden keganasan di ketujuh-tujuh wilayah sempadan, menurut kerajaan Thailand.

Jurucakap kerajaan, Jirayu Huangsap berkata bahawa dari lewat malam 5 Ogos hingga 7 pagi 6 Ogos, tiada laporan mengenai insiden keganasan di sepanjang sempadan.

Jirayu, yang juga ahli Pasukan Petugas Khas Mengurus Situasi Sempadan Thai-Kemboja (STF-TCB), berkata laporan barisan hadapan mengesahkan bahawa tiada pertempuran serius berlaku sepanjang malam.

“Sementara itu, pasukan Pelupusan Bahan Letupan (EOD) terus menjalankan operasi pemantauan dan pelupusan bom yang belum meletup,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman sesawang rasmi Kerajaan Diraja Thailand pada Rabu.

Mengenai rundingan di bawah kerangka Jawatankuasa Am Sempadan (GBC), Jirayu berkata sekretariat Thailand dan Kemboja masih giat mengadakan perbincangan dan rundingan berterusan.

“Perbincangan ini bertujuan merapatkan jurang antara pendirian kedua-dua pihak mengenai pelbagai isu, dengan matlamat mencapai persetujuan mengenai pelaksanaan gencatan senjata,” kata beliau.

Jirayu menegaskan bahawa kerajaan Thailand amat berharap mesyuarat GBC akan menghasilkan penguatkuasaan perjanjian gencatan senjata yang mampan dan berkesan.

Pada Selasa, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pertikaian sempadan yang telah lama berlarutan antara Thailand dan Kemboja dijangka dapat diselesaikan pada Khamis menerusi mesyuarat GBC.

Anwar memaklumkan bahawa menteri pertahanan kedua-dua negara akan menyertai rundingan itu, dengan harapan mencapai sekurang-kurangnya persefahaman bersama untuk mengekalkan atau memperkukuh gencatan senjata serta mencegah sebarang pelanggaran selanjutnya, terutama di kawasan sempadan yang dipertikaikan.

Pada 28 Julai lalu, kedua-dua negara bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat menerusi mesyuarat khas yang dihoskan oleh Anwar di Putrajaya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619