Orang ramai diminta tidak kongsi maklumat peribadi, elak jadi mangsa sindiket SARA

4 Ogos 2025, 12:27 PM
Orang ramai diminta tidak kongsi maklumat peribadi, elak jadi mangsa sindiket SARA

KUALA LUMPUR, 4 OGOS: Orang ramai diminta berhati-hati dengan sindiket penipuan yang mengambil kesempatan terhadap bantuan RM100 yang disalurkan di bawah Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa berkata pihaknya menjangkakan kegiatan sindiket berkenaan, akan kembali aktif untuk memperdaya orang ramai bagi mendapatkan maklumat peribadi dan perbankan atas alasan kononnya untuk tujuan pengesahan bantuan.

Beliau berkata lazimnya sindiket itu akan menyamar sebagai wakil agensi kerajaan, dengan menghubungi mangsa dan menghantar mesej palsu atau pautan phishing yang kelihatan rasmi melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), aplikasi WhatsApp atau panggilan telefon, untuk memancing mangsa.

“Sebaik sahaja maklumat seperti nombor akaun bank, nombor kad pengenalan atau kod OTP diperoleh, penjenayah akan mengakses akaun mangsa dan memindahkan wang tanpa disedari,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Walaupun tiada laporan polis diterima setakat ini berkaitan penipuan melibatkan program berkenaan, pihaknya memandang serius potensi eksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menyasarkan golongan rakyat memerlukan.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak berkongsi maklumat peribadi atau kewangan dengan individu tidak dikenali.

“Jangan mudah percaya dengan panggilan, mesej atau pautan yang mendakwa kononnya daripada agensi kerajaan yang menawarkan bantuan. Jangan sekali-kali menekan pautan yang mencurigakan atau mengisi maklumat peribadi di laman web yang tidak disahkan,” katanya.

Rusdi berkata segala urusan berkaitan bantuan kerajaan seperti Program SARA, hendaklah dirujuk melalui saluran rasmi sahaja antaranya laman sesawang kementerian atau agensi yang menguruskan bantuan tersebut.

“Orang ramai juga disarankan untuk menyemak dengan teliti syarat permohonan, kelayakan dan pelaksanaan bantuan, sebelum mengambil sebarang tindakan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kesilapan kecil seperti berkongsi OTP boleh membawa kepada kerugian kepada mangsa dan orang ramai dinasihatkan mendapat maklumat sahih dan terkini melalui portal rasmi kerajaan atau media arus perdana yang diiktiraf.

Pada 23 Julai, Anwar mengumumkan pemberian tunai RM100 secara sekali beri kepada semua warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas melalui MyKad di bawah program SARA, membabitkan peruntukan RM2 bilion dan memberi manfaat kepada 22 juta rakyat.

Bantuan yang boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos hingga 31 Disember 2025 itu bertujuan meringankan kos sara hidup rakyat.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619