Tidak semua permintaan AS libat perdagangan digital, teknologi dipersetujui Malaysia

4 Ogos 2025, 7:39 AM
Tidak semua permintaan AS libat perdagangan digital, teknologi dipersetujui Malaysia

SHAH ALAM, 4 OGOS: Tidak semua permintaan Amerika Syarikat (AS) melibatkan aspek perdagangan digital dan teknologi dipersetujui Malaysia semasa rundingan tarif timbal balik antara kedua-dua negara, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata Malaysia berpendirian teguh untuk mengekalkan dasar penyedia perkhidmatan awam dan platform media sosial masih tertakluk kepada liabiliti jenayah di bawah undang-undang Malaysia.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan Malaysia mempunyai hak untuk meminta akses atau mengarahkan syarikat memindahkan kod sumber perisian yang digunakan dalam infrastruktur kritikal, perolehan kerajaan dan sektor perkhidmatan kewangan, hal perlesenan dan kehakiman.

“Malaysia menekankan komitmen kerajaan yang telus dan seimbang dalam dua aspek. Aspek pertama iaitu komitmen untuk melindungi harta intelek syarikat daripada pemindahan teknologi secara paksa, menggalakkan inovasi dan memastikan persaingan yang adil di pasaran antarabangsa.

“Bagi aspek kedua pula adalah untuk memelihara kedaulatan, keselamatan dan kestabilan ekonomi negara,” katanya pada sesi penerangan menteri mengenai rundingan tarif timbal balik dengan AS, di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada 1 Ogos lepas, kadar tarif baharu untuk Malaysia diumumkan sebanyak 19 peratus, iaitu penurunan enam peratus daripada kadar 35 peratus yang diumumkan pada 7 Julai 2025.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619