SHAH ALAM, 4 OGOS: Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor memanfaatkan aplikasi WhatsApp bagi menerangkan pelarasan tarif air baharu kepada penduduk kawasan masing-masing, bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham.
ADN Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad berkata, pihaknya bekerjasama dengan ketua kampung, kawasan rukun tetangga (KRT), pengurusan masjid dan surau di lima zon bagi menyampaikan maklumat serta membuka ruang soal jawab melalui kumpulan WhatsApp.
“Dari segi maklum balas, ada yang marah dengan melihat akan ada kenaikan tetapi apabila kita menjelaskan ia disebabkan keadaan sistem kewangan terkait dengan inflasi, baru mereka faham.
“Selain itu, saya akan terus mempergiat promosi inisiatif Skim Air Darul Ehsan (SADE) buat penduduk yang belum mendaftar kerana kuota masih belum penuh,” katanya kepada Media Selangor.
Mengambil pendekatan serupa, ADN Kota Kemuning, S Preakas memaklumkan bahawa pusat khidmat DUN mengedarkan infografik dan maklumat berkaitan tarif baharu menerusi kumpulan WhatsApp komuniti, bagi menjelaskan objektif dan manfaat pelarasan tersebut.
“Kami juga memberi sesi penerangan dalam program komuniti seperti gotong-royong dan mesyuarat persatuan penduduk secara bersemuka selain membuka kaunter daftar bergerak di setiap zon DUN Kota Kemuning, bantu rakyat daftar SADE.
“Pejabat DUN Kota Kemuning turut bekerjasama dengan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bagi memastikan penduduk layak mendapat maklumat dan sokongan sewajarnya untuk SADE,” ujarnya.
Sementara itu, ADN Teratai, Yee Jia Haur merancang untuk bekerjasama dengan Air Selangor bagi menganjurkan sesi penerangan khas selepas sambutan Hari Malaysia, dengan fokus kepada kesedaran pengguna untuk berjimat dan mengelakkn pembaziran.
“Program dibuat selepas Hari Malaysia juga tumpu untuk meningkatkan kesedaran pada pengguna untuk berjimat dan jangan membazir air.
“Maklum balas penduduk terutama golongan berpendapatan rendah (B40) agak risau dengan kadar tarif, saya sedang dapatkan maklumat caj dikenakan kepada penduduk yang belum daftar SADE,” kongsinya.
Sebelum ini, EXCO Kerajaan Tempatan, Dato’ Ng Suee Lim mencadangkan Air Selangor menganjurkan taklimat khas berhubung pelarasan tarif kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT), peniaga dan pemimpin komuniti.
Beliau berkata, usaha meningkatkan kesedaran penggunaan air secara cekap perlu melibatkan PBT serta agensi kerajaan, termasuk melalui program pendidikan pengguna di pelbagai peringkat masyarakat.