Syarikat, industri digalak adaptasi teknologi baharu untuk jimat air

30 Ogos 2025, 2:25 AM
Syarikat, industri digalak adaptasi teknologi baharu untuk jimat air

SHAH ALAM, 30 OGOS: Syarikat atau industri digalakkan mengadaptasi teknologi baharu bagi menjimatkan penggunaan air susulan pelarasan tarif baharu bermula 1 Sept ini.

EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han berkata antara yang boleh diteroka adalah penggunaan air dikitar semula berbanding menggunakan potable water atau air boleh digunakan secara terus.

Beliau berkata pihaknya yakin tidak semua industri atau syarikat terkesan dengan impak tarif baharu tersebut kerana tidak semua pemain industri menggunakan air dengan jumlah yang tinggi.

“Bagi syarikat yang memerlukan penggunaan air yang tinggi, kami menggalakkan menggunakan teknologi baharu supaya penjimatan air itu dapat dicapai.

“Saya rasa mereka boleh mengguna pakai kaedah yang digunakan oleh Data Centre… mereka tidak guna potable water kerana untuk beroperasi tidak semestinya perlukan air hingga tahap boleh diminum terus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2025 (SIBS 2025) di sini, Khamis lalu.

Pada 1 Ogos lepas, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari mengumumkan Kerajaan Negeri akan menguatkuasakan pelarasan tarif air baharu di Selangor, selaras dengan keputusan Jemaah Menteri dan garis panduan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Menurut Amirudin, pelarasan itu melibatkan lebih 2.7 juta akaun pengguna domestik dan komersial, antara lain bertujuan mengukuhkan perkhidmatan bekalan air terawat serta meningkatkan kecekapan operasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), terutamanya dalam menghadapi cabaran perubahan cuaca dan pertumbuhan populasi.

Ng turut menyarankan industri atau syarikat berkenaan menggunakan air yang digunakan semula dengan kerjasama daripada Indah Water Konsortium (IWK) dan Air Selangor.

Beliau berkata sebagaimana dibekalkan kepada Data Centre, pihaknya juga sedia berbuat demikian kepada industri atau mana-mana syarikat kerana kos dikenakan lebih rendah.

“Jadi, ada pelbagai cara untuk membantu industri dan syarikat ini meringankan beban mereka seperti menggunakan air digunakan semula yang kosnya lebih rendah,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619