KPM teliti aspek tekninal sebelum wajibkan pendidikan awal lima tahun

3 Ogos 2025, 1:02 PM
KPM teliti aspek tekninal sebelum wajibkan pendidikan awal lima tahun

KOTA BHARU, 3 OGOS: Kementerian Pendidikan (KPM) kini menumpukan kepada penelitian aspek teknikal dan operasi sebelum pelaksanaan pendidikan awal kanak-kanak bermula pada usia lima tahun seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menterinya Fadhlina Sidek berkata langkah itu penting bagi memastikan pelaksanaan dasar berkenaan berjalan lancar dan memenuhi objektif memperkukuh asas pendidikan awal negara.

"Soal dasar sudah selesai, kini KPM meneliti lebih mendalam dari sudut teknikal dan operasi supaya pelaksanaannya nanti benar-benar memberi kesan positif.

“Kita ada tempoh lima tahun sepanjang RMK13 dan KPM juga akan mengadakan taklimat khas kepada pihak media untuk memberi penerangan menyeluruh mengenai langkah ini," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Pelajar Tingkatan Enam Semester 1 Tahun 2025 Peringkat Negeri Kelantan di sini hari ini.

Fadhlina berkata penelitian itu meliputi melihat keperluan sumber tenaga pengajar, prasarana serta kesediaan semua pihak terlibat.

Ditanya kemungkinan berlaku perubahan usia kemasukan Tahun Satu kepada enam tahun atau pelajar menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada usia 16 tahun, beliau berkata perkara itu akan diumumkan selepas perincian dibuat.

Khamis lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat berkata kerajaan akan mewajibkan pendidikan prasekolah bermula usia lima tahun bagi memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak dan meningkatkan keberhasilan sistem pendidikan negara.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619