AGENDA

Piala Raja Thai: Kurang keyakinan diri punca skuad sepak takraw tewas

28 Jul 2025, 5:00 AM
Piala Raja Thai: Kurang keyakinan diri punca skuad sepak takraw tewas

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara Ahmad Jais Baharun mengakui kecewa dengan aksi ditampilkan pasukan bimbingannya apabila tewas dalam aksi final acara regu berpasukan Piala Raja Thai semalam.

Beliau berkata pemain-pemain negara sebenarnya mampu beraksi dengan baik, namun kurang keyakinan diri menyebabkan mereka akhirnya tunduk 0-2 kepada musuh tradisi, Thailand

“Saya lihat prestasi pemain pada perlawanan akhir tidak mencapai apa yang diharapkan. Kalau kita teliti, prestasi pemain memang perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa.

“Berdasarkan apa yang dipamerkan, pemain tidak mengambil kesempatan apabila mendahului, sebaliknya memberi peluang kepada lawan untuk mengejar dan memberikan tekanan. Bagi saya, ini yang perlu diperbaiki menjelang Sukan SEA hujung tahun ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Semalam, skuad regu berpasukan negara tunduk 0-2 kepada tuan rumah dalam aksi final Piala Raja Thai 2025 yang berlangsung di pusat beli-belah Central Hatyai, Songkhla.

Kekalahan berkenaan sekali gus menyaksikan penantian 34 tahun untuk menjulang kejuaraan dalam acara regu berpasukan terus berlarutan yang kali terakhir dimenangi ketika temasya Sukan SEA 1991 di Manila.

Sementara itu, Ahmad Jais berkata belum ada keperluan untuk menekan butang panik susulan prestasi hambar skuad negara di kejohanan itu memandangkan persiapan pasukan dilakukan dalam masa yang singkat.

Beliau berkata baki beberapa bulan yang ada sebelum Sukan SEA akan digunakan sebaiknya untuk merangka strategi yang lebih berkesan termasuk meningkatkan daya saing pasukan.

“Kita hanya ada seminggu untuk mempersiapkan pasukan ke Piala Raja Thai. Bagaimanapun saya tidak mahu ia dijadikan alasan, insya-Allah post-mortem akan dilakukan sebagai persiapan menjelang Sukan SEA Thailand,” katanya.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619