AGENDA

Piala Dunia Sepak Takraw di Stadium Titiwangsa Mei ini, ISTAF tingkat mutu pengadilan

6 Mac 2024, 2:40 PM
Piala Dunia Sepak Takraw di Stadium Titiwangsa Mei ini, ISTAF tingkat mutu pengadilan

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) menjamin mutu pengadilan yang terbaik dalam penganjuran Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa di sini pada 18 hingga 26 Mei ini.

Setiausaha Agung ISTAF Datuk Abdul Halim Kader berkata pihaknya telah mengenal pasti 20 hingga 30 pengadil bertauliah dari Malaysia untuk kejohanan yang menawarkan ranking dunia buat julung kalinya.

“Kami akan mengambil pengadil seluruh negara yang boleh memberikan terbaik iaitu mempunyai pangkat di peringkat Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) atau ISTAF bagi kejohanan ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Isu pengadilan dalam sukan sepak takraw menjadi perdebatan hangat sebelum ini apabila Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Sumali Reduan mengakui kecewa dengan mutu pengadilan pada Sukan Asia Hangzhou 2022.

Pada kejohanan dunia di sini, sebanyak 21 negara telah mengesahkan penyertaan dengan 12 pasukan bersaing bagi kategori Premier dan sembilan pasukan bagi kategori Divisyen 1.

Sebanyak 12 negara dalam saingan Premier terdiri daripada Malaysia, Thailand, Korea Selatan, Myanmar, Vietnam, India, Indonesia, Singapura, Brunei, Jepun, China dan Filipina.

Divisyen 1 pula ada sembilan negara iaitu Sri Lanka, Arab Saudi, Perancis, Iran, Taiwan, Nepal, Pakistan, Jerman dan Bangladesh

Mohd Sumali sebelum ini memaklumkan persiapan negara menjadi tuan rumah sudah mencapai tahap 50 peratus membabitkan pengangkutan dan kemudahan disediakan.

Majlis pelancaran Kejohanan Sepaktakraw Piala Dunia 2024 tersebut akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, Jumaat ini.

— BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619