ad
BERITA UTAMA

Lemas: Selangor arah pemasangan pagar atau penghadang elak risiko

25 Jul 2025, 12:30 PM
Lemas: Selangor arah pemasangan pagar atau penghadang elak risiko

OLEH DEWI ABDUL RAHMAN

SHAH ALAM, 25 JULAI: Kerajaan Negeri mengarahkan semua projek berhampiran sungai atau kawasan kediaman agar memperketatkan langkah keselamatan, termasuk pemasangan pagar keselamatan dan penutupan sepenuhnya akses ke kawasan yang boleh mengundang bahaya, khususnya kepada kanak-kanak.

EXCO Infrastruktur Dato’ Ir. Izham Hashim berkata, biarpun kawalan keselamatan sedia ada dianggap mencukupi, masih terdapat keperluan untuk penambahbaikan bagi kawasan berisiko yang dekat dengan penempatan atau kawasan awam.

“Tapak ini di bawah projek Selangor Maritime Gateway (SMG) dan pembinaan belum lagi bermula. Namun, kerja pengorekan sungai telah menyebabkan terbentuknya kolam bertakung,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran produk sejuk beku jenama Ehsan, di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), di sini hari ini.

Menurut beliau, semua projek SMG yang terletak berhampiran kawasan perumahan telah diarahkan menambah baik kawalan keselamatan, termasuk membina penghadang dan menyekat sepenuhnya sebarang akses.

Arahan itu dikeluarkan susulan kejadian dua kanak-kanak yang ditemui lemas di tapak projek berhampiran Seksyen 24, Shah Alam pada 18 Julai lalu.

“Kita harap dengan tindakan ini, keselamatan penduduk terutamanya kanak-kanak dapat dijaga. Semua pihak terbabit dalam projek juga perlu lebih peka dengan risiko keselamatan yang ada di kawasan sekitar sungai,” ujarnya.

Sebelum ini, pihak polis mengesahkan dua kanak-kanak lelaki berusia sembilan dan 12 tahun dipercayai bermain dan mandi di kawasan itu sebelum insiden menyayat hati itu berlaku.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.